Astro Umum Kerjasama Dengan Netflix Melalui Ultrabox

Kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd dan Netflix hari ini mengumumkan pemeteraian perjanjian strategik yang bakal membawa perkhidmatan penstriman terkenal itu ke platform Astro.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, perjanjian strategik itu bakal memberikan pengalaman hiburan yang luar biasa kepada para pelanggan Astro.

Pelanggan Astro, menurut kenyataan itu lagi, bakal menikmati akses untuk menonton Netflix menerusi Ultrabox, sejurus selepas kerjasama tersebut dilancarkan dan menerusi Ultibox dalam tempoh masa beberapa bulan akan datang.

Ini merupakan antara ciri-ciri fungsi terbaharu yang diperkenalkan bagi mengintegrasikan perkhidmatan penstriman global di platform Astro.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Henry Tan berkata kerjasama yang termeterai dengan Netflix mengukuhkan lagi kedudukan Astro sebagai destinasi hiburan No.1 bagi rakyat Malaysia.

“(Kerjasama ini) menawarkan perkhidmatan penstriman terbaik, di samping pelbagai kandungan hebat seperti naskhah ‘originals’, program ‘signatures’, tayangan acara sukan secara langsung dan filem blockbuster tempatan untuk dinikmati.

“Pengumuman ini diharap dapat meningkatkan lagi prestasi Astro di dalam kepimpinan pasaran serantau dalam memberikan pengalaman hiburan terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan APAC Netflix, Tony Zameczkowski, berkata Netflix menawarkan rangkuman program menarik daripada koleksi filem Hollywood seperti Army of the Dead, La Casa de Papel dari Sepanyol, Lupin dari Perancis, dan K-drama seperti Vincenzo.

“Kami percaya bahawa kisah-kisah terhebat seperti ini boleh datang dari mana sahaja dan turut diminati oleh audiens seluruh dunia.

“Saya amat berbesar hati dengan pakatan strategik yang terjalin dengan Astro kerana kerjasama tersebut membolehkan kami membawa kandungan hiburan bertaraf dunia di pelbagai peranti pintar pilihan untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Menerusi kerjasama tersebut, pelanggan Astro dan Netflix di Malaysia kini boleh menguruskan akses pembayaran yuran langganan Astro dan Netflix mereka dengan lebih mudah dalam satu bil yang sama, dengan nilai tambah yang lebih baik.

Untuk maklumat lanjut, dan info mengenai pendaftaran, layari https://astro.com.my/Netflix

*Sumber: Astro Awani

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: