7 Tanda Personaliti Narsistik (Narcissistic)

RAMAI TAK SEDAR TANDA GANGGUAN PERSONALITI NARSISTIK PADA SESEORANG (NPD)

Kenapa dia pentingkan sangat diri tu? Tak boleh ke kadang-kadang dengar juga pendapat kita ni?

Kadang-kadang kita rasa nak cakap saja pada groupmate atau officemate kita yang pentingkan diri – mana taknya, dia saja yang dikira betul.

Pada yang mungkin dah tahu, kita mungkin akan kata dia seorang narsistik.

TAPI SEKEJAP! JANGAN SERKAP JARANG DULU.

Jom ketahui lebih lanjut apakah itu narsistik.

Apakah Itu Narsistik?

Mengikut seorang pakar terapi, Rebecca Weiler mengatakan, seperti gangguan mental yang lain, narsistik bukan soal hitam atau putih, tetapi lebih kepada bacaan spektrum. Ia kebiasaaannya akan muncul lewat masa remaja atau awal alam dewasa.

Gangguan Personaliti Narsistik atau Narcissistic Personality Disorder (NPD) ialah sejenis gangguan mental yang dikategorikan khusus di bawah masalah gangguan personaliti.

NPD selalu disalah anggap sebagai keyakinan diri yang tinggi dalam diri seseorang.

Walau bagaimanapun, NPD sebenarnya lebih self-centered dan tidak mempedulikan orang lain selain dirinya.

Pendek kata – memang sejenis yang ‘selfish’ tahap ekstremlah!

NPD sebenarnya bukan hanya sekadar ‘pentingkan diri’, malah lebih serius dari itu yang boleh memberi kesan yang negatif kepada keadaan sekeliling termasuk hubungan berpasangan, kekeluargaan, pekerjaan dan antara masyarakat keseluruhannya.

Hmmm… Pentingkan diri saja boleh menjadi narsistik?

Jawapannya, tidak. Sebenarnya, banyak lagi tanda-tanda jelas yang kita boleh nampak dalam diri seseorang yang dikaitkan dengan personaliti ini.

Sumber infografik : Facebook Public Health Malaysia

Apa Kata Pakar Psikologi?

Menurut Public Health Malaysia, kajian menunjukkan individu yang memiliki Personaliti Narsistik lebih berisiko untuk mendapat masalah anxiety, masalah mood dan salah guna dadah.

Tingkahlaku individu yang memiliki sikap narsistik juga sering gagal dalam perhubungan intim, kekeluargaan dan profesyen.

Pakar psikologi juga mengatakan bahawa gangguan personaliti narsistik merupakan antara isu mental yang sangat susah dirawat kerana pesakit kebiasaaanya menganggap personaliti mereka bukan suatu masalah kerana ia tidak memberi kesan buruk kepada mereka secara langsung.

Mereka juga sukar menerima kenyataan kerana mereka menganggap gangguan itu merupakan personaliti mereka dan bukannya sesuatu yang perlu dirawat.

Jadi, jika kita atau pasangan kita mempunyai tanda-tanda tersebut, sangat digalakkan untuk kita cari bantuan dan nasihat yang sesuai dari pakar terapi atau psikologi yang berkelulusan.

7 Tanda Gangguan Personaliti Narsistik (NPD)

1. Semua Tentang Dia

Pesakit NPD mempunyai rasa pentingkan diri yang melampau.

Mereka bukan saja berlagak dan mementingkan diri, malah mereka menganggap mereka ada satu keistimewaan menandingi orang lain.

Mereka tak suka bergaul dengan orang kebanyakan dan menganggap mereka layak menerima layanan istimewa dari semua orang.

Setiap kali ada peluang, mereka akan bercerita tentang diri dan pencapaian mereka, bahkan pencapaian itu selalunya akan ditokok tambah dari perkara sebenar.

Haaa! Jangan terkejut. Suka menokok tambah juga menjadi kebiasaan buat mereka.
Mereka juga percaya semua orang memerlukan mereka.

Tanpa mereka, orang lain tidak akan mampu untuk berjaya.

Baca juga: Elak Kena Saman! Ini Prosedur Tukar Warna Cat Kenderaan JPJ

2. PERLU Pada Perhatian Dan Pujian

Seseorang yang menghidapi penyakit ini selalunya akan buat perkara-perkara yang akan menarik perhatian orang.

Jika mereka tidak mendapat perhatian dan layanan yang diinginkan, mereka berkemampuan untuk membuat kecoh dan drama – mereka ini drama king/drama queen yang berjaya, okay.

Di sini juga kita boleh nampak pesakit-pesakit NPD memuat naik gambar-gambar selfie mereka ke dalam laman sosial dengan sangat kerap kerana mereka inginkan perhatian dan pujian dari kenalannya.

Walau bagaimanapun, hati hati ya, jika ada kawan-kawan kita yang suka memuat naik gambar ke media sosial, janganlah pula kita kata mereka ada masalah NPD. Belum tentu ya.

3. Menyusahkan Orang Lain

Penghidap penyakit NPD juga suka mengambil kesempatan ke atas orang lain seperti menyuruh orang lain membuat kerja mereka tanpa rasa bersalah.

Selalunya, mereka tidak mahu membantu apa lagi membuat kerja-kerja yang mereka anggap tidak setaraf dengan ‘kelayakan’ mereka.

Kalau dalam group work assignment, biasanya merekalah akan menjadi free rider yang berjaya.

4. Memperkecilkan Orang Lain

Sering memalukan dan memperkecilkan orang lain juga merupakan salah satu tanda yang terdapat dalam pesakit NPD, terutamanya jika mereka tidak mendapat penghargaan yang mereka mahukan.

Selalunya mereka mampu untuk memalukan orang lain dalam keadaan terbuka. Dengan berbuat demikian, mereka boleh memperlihatkan kelebihan mereka kepada orang lain.

Perlakuan seperti ini juga boleh mendatangkan masalah untuk mereka mendapatkan kawan kerana kebanyakan orang tidak akan selesa bergaul dengan mereka.

5. Hidup Dalam Fantasi

Disebabkan keadaan selalunya tidaklah seindah yang mereka inginkan, mereka berkemampuan untuk mencipta realiti mereka sendiri yang boleh jadi jauh berbeza dari realiti sebenar.

Bukan itu saja, mereka bahkan boleh hidup dalam dunia mereka sendiri, yang kebiasaannya berpaksikan kuasa, kejayaan atau kecantikan mereka.

6. Cukup Pantang Menerima Kritikan

Jika kita tinggal bersama pesakit NPD, susah untuk kita tegur sikap buruk mereka kerana mereka takkan terima sebarang kritikan atau teguran dari sesiapa sahaja. Mereka akan mengelak atau menyalahkan pihak lain jika suatu perkata buruk terjadi terhadap kerja yang mereka lakukan.

Mereka juga tidak suka mendengar pendapat orang lain, kerana mereka rasa mereka saja yang betul. Haaa! Memang susah untuk bekerja dengan seseorang yang menghidapi NPD kerana mereka mempunyai tahap toleransi yang sangat sangat rendah.

7. Tiada Simpati Dan Empati

Selain itu, mereka juga mempunyai masalah untuk memahami kesusahan orang lain. Mereka kekurangan sifat simpati dan empati terhadap orang sekeliling dan kebiasaaannya mereka lebih memilih untuk tidak mengambil peduli tentang keperluan orang lain.

Jadi, ketika orang lain menghadapi kesusahan, jangan pelik jika mereka tidak tersentuh dan tidak ada rasa untuk membantu.

Rujukan:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: