Budak 3 Tahun Maut Selepas 4 Jam Tertinggal Dalam Kereta Pengetua

Kisah kanak-kanak 3 tahun yang meninggal dunia akibat tertinggal dalam kereta selama 4 jam menjadi tular hari ini.

Menurut laporan dalam Berita Harian ini, ibu mangsa berkata, “Naluri saya sebagai ibu dapat rasakan anak saya menahan sakit sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kerana nampak bibirnya kehitaman.

“Namun, saya redha dengan pemergiannya kerana Allah hanya pinjamkan arwah untuk kami sekeluarga bersamanya sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” kata Nor Azira Abdul Halim, 36.

Baca juga: Bukan Saja Penjual, Pembeli Di Lampu Isyarat Juga Akan Didenda RM2,000

Ditemui Tidak Sedarkan Diri Selepas Lebih 4 Jam Tertinggal Dalam Kereta

Dalam kejadian tersebut, Muhammad Harraz Aryan ditemui tidak sedarkan diri selepas lebih empat jam ditinggalkan dalam kereta dipandu oleh pengetua tadika di Taman Ria, di sini.

Kanak-kanak itu dipercayai berada dalam kereta yang di parkir berhampiran tadika berkenaan antara jam 8 pagi hingga 12.15 tengah hari semalam.

Difahamkan pengetua wanita berusia 49 tahun di tadika itu hanya menyedari Muhammad Harraz Aryan tiada di tadika berkenaan jam 12.15 tengah hari dan pada ketika itu dia mendapati kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri di dalam kereta.

Kata ibunya, Nor Azira, setiap hari dia menghantar anaknya ke tadika itu, namun disebabkan bekerja di Pulau Pinang pada hari Selasa dan Rabu, dia meminta pengetua tadika mengambil anaknya di rumah di Taman Ria.

Ketika kejadian dilaporkan, seorang lagi kanak-kanak diletak di bahagian depan telah dibawa keluar bersama manakala anaknya di belakang tertinggal di dalam kereta secara tidak sengaja oleh pengetua itu.

Foto tangkapan layar dari Kosmo Online

Ibu Menerima Panggilan Dari Guru Jam 12.25 Tengah Hari

“Ketika kejadian semalam saya sedang bertugas di bangunan Komtar di Pulau Pinang dan bergegas pulang sebaik menerima panggilan dari guru anak saya jam 12.25 tengah hari.

“Mulanya saya ingat anak saya kemalangan sebab tadika itu terletak berhampiran jalan, tetapi tiba-tiba guru yang menghubungi saya menangis dan memberitahu anak saya tak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Nor Azira berkata, dia kemudian bergegas pulang ke Sungai Petani, namun tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap anaknya itu.

“Sebelum itu saya sempat menghubungi suami, Mohd Hafizi Husin, 36, yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Sungai Petani dengan harapan suami akan cepat sampai untuk melihat keadaan arwah.

“Sepanjang perjalanan pulang, saya tak henti berdoa supaya anak saya selamat dan mungkin hanya mengalami kecederaan, namun suami menghubungi dan meminta saya terus ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk melihat keadaan anak kami,” katanya.

Anak tertinggal dalam kereta
Kredit foto: Berita Harian

Dimaklumkan Anak Telah Meninggal Dunia Apabila Tiba Di Hospital

Katanya, sebaik tiba di hospital dia berasa tidak sedap hati apabila melihat jasad anaknya di unit forensik hospital itu dan dimaklumkan sudah meninggal dunia.

“Arwah memang anak yang aktif ketika di rumah, namun ketika di sekolah dia banyak diam mungkin dia takut dengan guru.

“Cuma saya tak tahu bila anak saya meninggal dunia kerana berada dalam kereta itu sejak jam 8 pagi sebelum disedari jam 12.15 tengah hari.

“Tak nampak langsung perubahan pada arwah dan merengek itu perkara biasalah,” katanya.

Jenazah Muhammad Harraz Aryan kemudian dibawa dari HSB ke rumahnya di Sungai Petani dan dijangka dikebumikan hari ini.

*Sumber: Berita Harian

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: