Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat Diramal Sehingga Mei – MetMalaysia
AMARAN RIBUT PETIR MULAI 16 MAC HINGGA MEI SUSULAN PERMULAAN MONSUN
KUALA LUMPUR, 12 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa kawasan di seluruh negara dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat, khususnya pada waktu petang dan awal malam, bermula 16 Mac ini hingga pertengahan Mei, berikutan fasa peralihan monsun.
Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata keadaan cuaca itu yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula pada 11 November lepas, dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan tengah Sarawak.
Hal ini dinyatakan melalui siaran media rasmi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada hari ini.
Baca juga : Lelaki Hilang COD iPhone Ditemui Polis, Dikurung 5 Hari Di Melaka
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu, beliau menasihati orang ramai agar lebih berwaspada sepanjang tempoh berkenaan selain sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia.
Apakah Peralihan Monsun? – MetMalaysia
Peralihan Monsun adalah tempoh peralihan antara dua monsun utama iaitu Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.
Sepanjang tempoh ini, ribut petir & hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat pada petang hingga awal malam kerap berlaku sehingga boleh mengakibatkan kejadian banjir kilat.
Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Rujuk infografik di bawah untuk info lanjut tentang peralihan monsun di Malaysia yang berlaku bermula Mac hingga April – Mei.
Maklumat terkini cuaca boleh disemak melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca, laman media sosial rasmi atau talian hotline 1-300-22-1638.