Senarai Amalan Sunat Bulan Zulhijjah & Hari Arafah – JAKIM

AMALAN SUNAT BULAN ZULHIJJAH & HARI ARAFAH

Taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan amal soleh sememangnya dituntut pada setiap masa. Bagaimanapun, terdapat beberapa masa serta keadaan di mana ia lebih dituntut serta ganjarannya lebih besar daripada masa serta keadaan yang lain. Ini adalah satu kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang sepatutnya direbut dan dimanfaatkan oleh sekalian hamba-Nya.

Salah satu daripada hari-hari istimewa tersebut adalah hari-hari al-‘asyr al-awa’il, iaitu sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah ini.

Tanggal 10 Zulhijjah sedia dimaklumi merupakan Hari Raya Aidil Adha yang diisi dengan takbir, Solat Sunat Aidil Adha, ibadat qurban dan sebagainya. Jadi apa pula bentuk amalan untuk mengisikan sembilan hari pertama bulan Zulhijjah ini?

Senarai Amalan Sunnah Bulan Zulhijjah

Berikut beberapa amalan yang paling utama serta patut dikerjakan dan dilipat gandakan pada hari-hari tersebut, antaranya :

amalan bulan zulhijjah 2022
Sumber infografik: JAKIM

1. Memperbanyakkan Sembahyang Sunat

Ibadat sembahyang adalah ibadat yang pertama sekali dihisab pada hari akhirat kelak. Sembahyang sunat secara khususnya pula mempunyai keistimewaan yang tersendiri di mana ia akan menjadi penambal terhadap kekurangan-kekurangan yang berlaku atau terdapat pada sembahyang fardhu.

Ini menjadikan ia ibadat yang paling utama dan merupakan antara cara paling afdhal untuk taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ia juga antara cara terbaik untuk memperoleh kecintaan-Nya sekaligus mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Memandangkan sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah ini merupakan hari-hari yang mana amal ibadat padanya paling disukai Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka amalan sembahyang-sembahyang sunat sayugia diperbanyakkan.

2. Puasa Sunat

Ibadat puasa juga merupakan antara amalan yang paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ini.

Mengenai kelebihan amalan puasa pula, dalam sebuah hadits qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya : ”Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman : Semua amal ibadat anak Adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali ibadat puasa. Sesungguhnya ibadat puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan mengurniakan ganjaran pahala baginya.” (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Adapun puasa sunat yang sangat dianjurkan pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ialah :

(i) Puasa Sunat ‘Arafah (9 Zulhijjah)

Hukum puasa sunat ‘Arafah adalah sunat muakkadah (yang sangat dituntut) bagi orang yang tidak mengerjakan haji dan ia adalah puasa yang paling utama dan paling dituntut pada hari-hari al-‘asyr al-awa’il ini.

Sebaliknya orang yang mengerjakan haji disunatkan untuk tidak berpuasa walaupun dia berupaya untuk melaksanakan puasa.

Begitu juga tidak disunatkan bagi orang yang musafir serta orang sakit untuk berpuasa pada hari ‘Arafah jika dengan berpuasa itu akan mendatangkan kepayahan kepada mereka.

Puasa sunat ‘Arafah sangat besar fadhilatnya. Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :

Maksudnya : ”Puasa hari ‘Arafah, aku memohon kepada Allah agar menebus dosa-dosa setahun sebelumnya serta setahun selepasnya.” (Hadits riwayat Imam Muslim)

Hadits ini bermaksud bahawa mengerjakan puasa sunat ‘Arafah itu diberikan ganjaran pengampunan dosa-dosa setahun sebelum hari ‘Arafah yang lalu serta setahun selepas hari ‘Arafah yang akan datang.

Imam al-Mawardi Rahimahullah berkata bahawa ‘pengampunan’ dalam hadits tersebut mempunyai dua tafsiran :

i. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengampunkan dosanya pada dua tahun tersebut.

ii. Allah Subhanahu wa Ta’ala memeliharanya pada dua tahun tersebut, dan dia tidak akan berbuat maksiat pada dua tahun itu.

Adapun pengampunan dosa-dosa yang dimaksudkan itu adalah pengampunan bagi dosa-dosa kecil sahaja. Ini kerana dosa-dosa besar hanya dapat diampunkan dengan taubat atau (pengampunan) melalui rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, sepertimana yang dinukil oleh Imam asy-Syaukani Rahimahullah dalam kitabnya Nail al-Authar, sekiranya orang yang mengerjakan puasa sunat ‘Arafah itu tidak mempunyai dosa-dosa kecil, maka akan diampunkan pula baginya dosa-dosanya yang besar. Sekiranya dia tidak juga mempunyai dosa-dosa besar, maka puasanya itu akan mengangkat darjatnya.

Baca juga: Niat Puasa 9 Hari Terawal Zulhijjah, Hari Arafah Beserta Kelebihannya

(ii) Puasa Keseluruhan hari Pertama hingga Sembilan Zulhijjah

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, puasa sunat pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah merupakan puasa sunat yang sangat-sangat dituntut dan digalakkan.

Salah satu dalil pensyariatan puasa ini ialahsebuah hadits yang diriwayatkan daripada salah seorang isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya:

Maksudnya : ”Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Zulhijjah ……” (Hadits riwayat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad)

3. Memperbanyakkan Zikir

Perkara ini ada disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda menggalakkan supaya memperbanyakkan zikir pada hari-hari tersebut.

Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya : ”Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah serta tidak ada hari-hari di mana amalan pada hari-hari tersebut lebih disukai oleh-Nya lebih daripada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah ini. Maka perbanyakkanlah pada hari-hari itu tahlil dan takbir serta tahmid.” (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata : ”Dan berzikirlah kamu mengingat Allah Aubhanahu wa Ta’ala di hari-hari yang tertentu iaitu sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah serta hari-hari yang tertentu bilangannya iaitu hari-hari tasyriq.”

Imam al-Bukhari Rahimahullah berkata dalam Shahihnya : ”Adapun Ibnu ‘Umar danAbu Hurairah Radhiallahu ‘anhum keluar ke pasar pada sepuluh hari-hari pertama bulan Zulhijjah dan bertakbir, lalu orang ramai (yang mendengarnya) turut sama bertakbir.”

4. Memperbanyakkan Doa

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis diriwayatkan oleh Malik)

Amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada Allah SWT. Ia merupakan waktu berdoa yang paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan.

Ini diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,
“لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”.
(Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”
-Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi

Wukuf pada hari Arafah dan doa mustajab ini adalah khusus kepada jemaah haji yang berada di sana di mana amalan ini bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib.

Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah khususiyyat (perkara yang dikhususkan) untuk jemaah haji yang berada di Arafah, namun bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing, tanpa menghadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu, bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. Ini kerana tiada dalil khusus yang menghadkannya.

Contoh Jadual Amalan Bulan Zulhijjah 2022

Rujuk contoh jadual amalan bulan Zulhijjah seperti di bawah:

Lain-lain amalan:

Lain-lain amalan sunat yang boleh dilakukan pada bulan Zulhijjah adalah:

  1. Istighfar
  2. Sedekah
  3. Menghadiri majlis ilmu
  4. Amar makruf nahi mungkar
  5. Membaca al-Quran

Inilah sebahagian amalan yang elok dilipat ganda dan diperbanyakkan pada hari-hari al-‘asyr al-awa’il itu.

Selain itu, banyak lagi amalan lain yang boleh dilakukan seperti memperbanyakkan sedekah, berdoa, membaca al-Qur’an, bersalawat dan sebagainya.

Jangan biarkan hari-hari istimewa ini berlalu begitu sahaja tanpa direbut segala kelebihan-kelebihan yang ada padanya kerana ini adalah peluang keemasan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala serta mengangkat darjat di sisi-Nya.

Kita tidak tahu adakah kita masih berpeluang lagi menemuinya selepas ini ataupun sebaliknya.

*Sumber: JAKIM, Pelita Brunei

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: