Pencarian Bapa Berakhir, Kereta Ditemui Terjunam Ke Gaung
Pencarian bapa yang tidak dapat dihubungi melebihi 24 jam oleh seorang anak sejak Ahad lalu berakhir dengan tragedi pilu apabila warga emas berkenaan, Zahari Zakaria, ditemui maut selepas kereta Perodua Myvi dipandu terbabas dan terjunam ke dalam gaung.
Kejadian dilaporkan berlaku di Jemaluang pada awal pagi hari ini.
Difahamkan bahawa, lelaki tersebut hilang semasa dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke Johor.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook Komuniti Mersing, kereta yang dipandu mangsa, Zahari Zakaria telah ditemui di dalam semak di Jalan Jemaluang ke Kota Tinggi.
Anak sulung mangsa, Zul Hasni Zahari, 39, ketika dihubungi oleh pihak wartawan berita tempatan di Kosmo! berkata, dia menerima panggilan kira-kira pukul 7 pagi daripada orang awam memaklumkan penemuan kereta dinaiki bapanya, Zahari Zakaria, 63.
Jelasnya, berdasarkan maklumat awal, bapa kepada tujuh anak itu ditemui meninggal dunia selepas tersepit dalam keadaan kereta yang terbalik.
“Bapa saya kerja sebagai inspektor kapal dekat Pelabuhan Pasir Gudang, hujung minggu atau dua minggu sekali dia akan balik ke kediaman keluarga di Kemaman, Terengganu.
“Dia (Zahari) bertolak dari Kemaman kira-kira pukul 10 malam melalui jalan biasa dia memandu iaitu Jalan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang,” katanya menerusi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, Siti NurFaezah telah memohon orang ramai agar memberikan maklumat tentang ayahnya yang tidak dapat dihubungi.
Jenazah Zahari kini dibawa ke Hospital Mersing di sini sebelum akan dibawa ke Kemaman untuk dikebumikan di kampung halamannya.
Sumber: Kosmo!, Facebook Orang Kota Tinggi