Murid Tahun 2 Hilang Lepas Balik Sekolah Ditemui Selamat
Seorang murid perempuan Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Midah 1, yang dilaporkan hilang selepas sesi persekolahan petang semalam ditemui selamat, malam tadi.
Laporan kehilangan murid perempuan dikenali Sofia Raniya, 8, yang juga anak ketiga daripada empat beradik dibuat oleh bapa saudaranya di Balai Polis Cheras, kira-kira jam 7.30 malam.
Menerusi cerita yang tular di media sosial, kehilangan Sofia didakwa disedari ibunya apabila dia gagal menemui anaknya di sekolah selepas terlewat menjemputnya pulang kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Hj. Jaafar, dalam satu kenyataan memberitahu kehilangan kanak-kanak itu disedari oleh ibunya selepas selesai sesi persekolahan sebelum wanita itu dan pihak sekolah cuba mencari kanak-kanak terbabit di kawasan berdekatan sekolah.
Bagaimanapun, katanya, usaha pencarian mereka gagal sebelum memutuskan untuk melaporkan kehilangan itu kepada pihak polis.
Ditemui Pada Jam 9.35 Malam
Ekoran laporan polis yang dibuat, Polis Cheras telah menggerakkan semua elemen penugasan termasuklah team siasatan bagi mengesan kanak-kanak yang hilang dengan kadar segera selain memohon bantuan orang ramai untuk sama-sama menyalurkan sebarang maklumat melalui hebahan di media sosial.
Pada jam lebih kurang 9.35 malam, kanak-kanak tersebut telah dijumpai dalam keadaan baik oleh orang awam di kawasan perkarangan lobi Kondominium The Holmes, Bandar Tun Razak, Cheras yang kemudiannya menghubungi pihak polis Cheras.
Hasil pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak tersebut dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengetahui sebab kanak-kanak tersebut boleh berada di kondominium tersebut.
Sumber: Polis KL