Kita Tak Pakai Nama Dia Pun – Ameer Mydin

PETALING JAYA: Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin mencabar penyanyi rap, Caprice memfailkan saman terhadap beliau dan rangkaian pasar rayanya berhubung satu hantaran di Twitter yang didakwa memalukan penyanyi itu.

Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli mengugut akan menyaman Mydin RM30 juta, sekiranya dia tidak menerima permohonan maaf daripada syarikat itu. Dia turut menuntut catatan itu dipadamkan.

“Kalau betul Caprice nak saman, hantar surat saman kepada kami, biar peguam saya semak nanti,” katanya yang dipetik Kosmo.

Ameer juga menegaskan syarikatnya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam mana-mana hantaran di media sosial dan tidak berniat menghina sesiapa pun.

“Kami (Mydin) tak ada sebut nama Caprice atau ‘tag’ Caprice dalam hantaran kami, kenapa dia nak terasa?” soalnya.

Akaun Twitter rasmi Mydin sebelum ini membuat hantaran: “Mula-mula ingat nak beli teh je, sekali terbeli cap dengan rice. Bila sampai rumah rasa tak perlu pun cap dengan rice tu. Nasib Mydin bagi pulangkan balik dalam tempoh 24 jam.”

Semalam, Caprice dalam hantaran di Instagram berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mydin, sekiranya syarikat itu tidak menyiarkan video memohon maaf dan membayar pampasan atas hantaran berkenaan.

“Disebabkan penghinaan awam ini, klien kami tidak lagi berasa selamat dan akan selamanya trauma dengan pembeli, pekerja dan pelanggan dari @mydinmalaysia.”

Bagaimanapun, hari ini, Caprice dalam hantaran di Instagram story menawarkan untuk belanja secara percuma kepada rakyat Malaysia di pasar raya itu.

“Cap nak belanja rakyat Malaysia beras, minyak dan tiga bahan lain ikut pilihan anda secara percuma minggu hadapan. Pilih Lokasi mana korang nak Cap belanja.

“Subang Jaya, Bukit Jelutong atau Batu caves,” katanya.

Ameer mengalu-alukan sekiranya Caprice benar-benar mahu melakukan kerja amal di pasar raya itu dan beliau turut menawarkan gula 1kg kepada pelanggannya.

“Baguslah, kalau Caprice nak buat kerja amal. Jangan lupa hubungi cawangan Mydin yang diinginkan,” katanya.

Perkataan ‘cap’ dan ‘rice’ tidak jatuhkan reputasi Caprice – Peguam

Sementara itu, seorang peguam menjelaskan bahawa perkataan ‘cap’ dan ‘rice’ yang dimuat naik dalam hantaran syarikat pemborong dan peruncit, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) di Twitter baru-baru ini tidak akan menjejaskan reputasi penyanyi rap, Caprice.

Perkara itu dijelaskan oleh peguam Syed Muhammad Adeeb Barakbah Syed Muhammad Azman Barakbah menerusi hantaran video di TikToknya semalam.

“Isu Caprice dan Mydin ini menarik perhatian saya apabila Caprice ingin saman RM30 juta sekiranya Mydin gagal membuat permohonan maaf dan turunkan semula hantaran tersebut.

“Saya ingin nyatakan isu ini dari segi pandangan undang-undang dengan apa yang akan berlaku sekiranya saman ini betul-betul berlaku,” katanya.

Jelasnya, sekiranya situasi itu berlaku, pihak peguam akan melihat ia sebagai saman berbentuk fitnah.

“Terdapat tiga elemen dalam kes fitnah, saya akan kongsikan dua dan berbalik kepada isu tersebut adakah ia membawa fitnah dan ditujukan kepada Caprice?,” soalnya.

Syed Muhammad Adeeb memaklumkan, dua perkataan yang ditulis pihak Mydin tidak mempunyai unsur menjatuhkan reputasi Caprice.

“Itu satu elemen yang jelas menunjukkan saman tersebut tidak akan berjaya,” ujarnya.

Selain itu, soalnya lagi adakah hantaran itu merujuk kepada Caprice.

“Ia (hantaran Mydin) nyatakan ‘cap’, betul ia boleh dirujuk kepada Caprice, tapi mungkin juga ia merujuk kepada jenama lain, terdapat banyak jenama lain yang mempunyai perkataan c.a.p juga.

“Saya percaya kita boleh fikir dua tiga jenama yang ada,” jelasnya.

Tambahnya, dua elemen yang dikaitkan dengan saman fitnah serta merujuk kepada kes yang tular itu seperti tidak akan berjaya kerana tiada unsur berkaitan yang kuat dijadikan sebagai bukti kes.

“Barangkali bawa ke mahkamah tidak berjaya kerana tidak mencapai keperluan dan satu lagi kalau berjaya, adakah boleh membawa kepada RM30 juta? Tiada lagi kes fitnah di Malaysia yang capai RM15 juta, apatah lagi RM30 juta walaupun berjaya.

“Bagi pandangan saya, sekalipun Caprice berjaya dalam kes ini menyaman Mydin, paling tinggi RM10,000,” kongsinya.

Tengok video penuh di Tiktok : https://www.tiktok.com/@adeeb_barakbah/video/7156615075904752922?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=adeeb%20barakbah&t=1666321685793

Sumber: FMT, Kosmo!, Tiktok Adeeb Barakbah

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: