Viral Borang Rentas Negeri Dah Dicop Sebelum Isi, Polis Buka Kertas Siasatan

Semalam sebuah hantaran menjadi viral di Twitter gara-gara seorang individu yang memuatnaik gambar borang rentas negeri yang belum diisi namun telah dicop dan ditandatangan.

Orang ramai meluahkan rasa hairan dan tidak berpuas hati kerana seolah-olah individu berkenaan mendapat kelulusan rentas negeri sebelum mengisi borang, tidak seperti prosedur yang ditetapkan.

Susulan hal ini, pihak polis daerah yang terlibat akan menjalankan siasatan berhubung kes pemalsuan tandatangan pegawai polis yang terdapat pada satu borang rentas negeri tersebut.

Dalam sebuah kenyataan rasmi, Ketua Polis Daerah Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya turut menafikan kononnya terdapat prosedur operasi standard (SOP) baharu dikeluarkan polis iaitu lulus dahulu baru isi borang untuk tujuan rentas negeri sebagaimana yang dinyatakan bersama borang kosong berkenaan.

Difahamkan individu yang memuatnaik status itu akan menggunakan borang rentas negeri bagi tujuan menghadiri temuduga di Kuala Lumpur.

Sumber: Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman

“Saya menafikan dan maklumat itu palsu kerana polis tidak pernah mengeluarkan sebarang SOP baru rentas negeri sebagaimana yang didakwa.”

“Siasatan awal yang dijalankan juga mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Ketua BP Chukai, Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang berkenaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, satu kertas siasatan polis dibuka di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan (pemalsuan bagi maksud hendak menipu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: