in

Pelancong Ke Langkawi Wajib Jalani Ujian Saringan COVID 19

ujian saringan covid 19 langkawi
ADVERTISEMENT

Bermula 16 September 2021, setiap pelancong yang ingin ke Langkawi wajib menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.

Semua pelancong yang mahu menikmati kemudahan gelembung pelancongan menerusi Projek Rintis Langkawi bermula esok, diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.

Cara Menjalani Ujian Saringan Pengesanan COVID-19 Untuk Ke Langkawi

CARA 1

ADVERTISEMENT

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ujian pengesanan COVID-19 sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen, perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Katanya, keputusan ujian itu perlu dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk, sama ada lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas.

CARA 2

Beliau berkata, pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di tempat saringan yang disediakan atau mereka boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

“Ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terbabit akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Siapa Yang Perlu Melakukan Ujian Saringan COVID19?

“Ujian pengesanan ini akan dilakukan terhadap individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7-17 tahun.

Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang sudah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan.

Pelancong Didapati Negatif Akan Dibenarkan Meneruskan Perjalanan

Khairy berkata, bagi pelancong yang didapati negatif COVID-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif COVID-19 tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat yang sedia ada.

Beliau berkata, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama, seperti diumumkan Perdaan Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 2 September lalu, sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya.

Katanya, antara faktor yang dipertimbangkan dalam melaksanakan projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi itu termasuk liputan imunisasi lengkap penduduk dewasa di pulau terbabit yang mencapai 89.9 peratus manakala 91.8 peratus penduduk dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan kesediaan operator pelancongan untuk menerima kedatangan pelancong.

Pun begitu, beliau berkata, projek rintis itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

Atas sebab itulah, katanya, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi sudah menerima vaksinasi lengkap, bukan kes positif COVID-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif.

Baca juga: Senarai Resort Tepi Pantai Yang Menarik Di Langkawi (2021)

SOP Perlu Terus Dilaksanakan Dengan Ketat

“Saya ingin memberi penekanan bahawa pelaksanaan gelembung pelancongan ini tidak bermakna Kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

“Semua amalan ini kelihatan mudah tetapi ia mampu melindungi kita daripada jangkitan virus COVID-19 dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan kepada individu lain.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang ditetapkan. Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Written by badra

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Senarai Resort Tepi Pantai Yang Menarik Di Langkawi (2021)

Hanya RM100 Sebulan Untuk Kelajuan Internet 300Mbps Dengan Digi JomFibre!