Tol Gombak Sesak, Sebahagian Besar Cukup Syarat Rentas Negeri – Polis
Kesesakan di Plaza Tol Gombak dari arah ibu negara menuju ke negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung yang bermula jam 9 pagi tadi berpunca daripada pemeriksaan teliti pada setiap kenderaan melalui sekatan jalan raya diadakan.
Gambar yang tular menunjukkan barisan panjang ini meraih perhatian netizen yang mengecam sekiranya terdapat perbuatan rentas negeri atau balik kampung sebelum PKP full lockdown bermula 1 Jun 2021 ini.
Difahamkan sejak jam 9 pagi keadaan sudah mula sesak dan semakin sesak ketika dikemaskini status jam 1.10 tengah hari tadi.
Hal ini dimaklumkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi status di Facebook:
Menurut laporan terkini oleh TV3, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe, pihaknya telah menyiasat sama ada terdapat pergerakan pulang ke kampung menjelang penutupan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Selasa depan.
Terkini kata beliau, hampir semua pengguna lebuh raya yang melalui Plaza Tol Gombak didapati cukup syarat untuk melakukan perjalanan rentas negeri menghala ke Pantai Timur.
Arifai berkata, sebahagian besar yang melalui SJR berkenaan menunjukkan surat kebenaran atas urusan kerja yang disahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain surat kebenaran dari pihak polis.
“Setiap proses pemeriksaan yang dibuat secara teliti mendapati sebahagian besar pengguna mempunyai surat kebenaran rentas negeri.
“Selain urusan bekerja dan terbabit dalam perkhidmatan penting, ada antara pengguna juga mempunyai kebenaran atas faktor kecemasan dan perubatan serta Pasangan Jarak Jauh (PJJ),” katanya selepas memeriksa sendiri sebahagian besar pengguna jalan raya di Plaza Tol Gombak, tengah hari tadi.
Bagaimanapun katanya, terdapat 14 pemilik kenderaan diarahkan berpatah balik selepas mereka memberikan alasan tidak munasabah dan mengemukakan dokumen tidak lengkap serta meragukan.
“Mereka yang diarah berpatah balik ini membawa rakan sedangkan surat kebenaran adalah untuk faktor PJJ, bagi membolehkan dia bertemu isterinya di Pahang, selain membawa individu lain yang tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri,” katanya.
Harian Metro juga melaporkan bahawa kesesakan yang panjang lebih satu kilometer ke laluan berkenaan berkemungkinan ia disebabkan kenderaan terlalu banyak yang ingin menuju ke Pantai Timur dan memilih untuk melakukan pergerakan pada masa sama antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.
“Malah kesesakan juga mengambil masa selepas pihak polis membuat pemeriksaan secara terperinci bagi mengelak masyarakat melakukan sebarang pergerakan rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran,” katanya.
Teruskan Duduk Di Rumah!
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah turut meluahkan rasa bimbang dan menyeru orang ramai agar kekal di rumah masing-masing.
Beliau meluahkan rasa bimbang dan prihatin melalui status terkini di Facebook sebentar tadi:
Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini?
Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan.
Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus COVID-19.
Duduklah di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting.
Bantulah selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes COVID-19 tidak terkawal.
Sekiranya kami rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya. Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil ICU sudah penuh semuanya.
Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda.
Beliau juga berkongsikan beberapa gambar dan kata-kata semangat kepada semua petugas barisan hadapan agar terus berjuang menghapuskan wabak ini.
Ayuh, patuhi SOP dan amalkan lockdown kendiri bagi memutuskan rantaian ini!