“Siti Sarah Dah Ditidurkan, Tolong Doakan Dia”

Kuala Lumpur: “Sarah dah ditidurkan. Minta tolong doakan dia,” kata pengurus Siti Sarah, Nana Mohamad Rom mengulas situasi terkini penyanyi terbabit.

Menurut Nana, sebagai alternatif bagi mendoakan kesejahteraan penyanyi itu, majlis bacaan Yassin diadakan tengahari ini yang dipimpin oleh Imam Muda Asyraf.

“Ini adalah inisiatif kami sebagai rakan-rakan untuk pinjamkan kekuatan kepada Sarah dan juga bayi di dalam kandungannya.

“InsyaAllah, Allah akan mendengar rintihan dan permintaan kita,” katanya.

Pada pagi hari ini, Siti Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini, akibat tahap oksigen tidak stabil.

Perkara ini dimaklumkan oleh suaminya pelawak Shuib yang memberitahu, keadaan Siti Sarah juga tidak berapa baik selain memohon doa kesembuhan isteri dan bayi dalam kandungan.

“Assalammualaikum salam Jumaat semua. Pagi tadi isteri saya dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tak berapa stabil dan keadaan dia yang tak berapa baik.

“Saya mohon di hari baik hari Jumaat, doakan Sarah dan anak dalam kandungan. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah berikan kekuatan untuk mereka. Semoga Allah merahmati kita semua, amin,” katanya.

Terkini, Shuib memaklumkan bahawa Siti Sarah akan menjalani pembedshan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan pada jam 2.00 petang.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penyanyi lagu Kesetiaan itu yang kini sarat hamil lapan bulan dikejarkan ke hospital sama berikutan tahap oksigen yang semakin menurun, kelmarin.

Difahamkan, Siti Sarah sepatutnya memotong gelang kuarantin pada hari sama, sebelum mengalami batuk.

Siti Sarah sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif wabak itu.

Pasangan itu berkahwin pada 2011 dan memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

*Sumber: Harian Metro

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: