Kronologi Pingat Emas Ziyad Ditarik Balik & Punca Rayuan Malaysia Ditolak
Rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, telah ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) sebentar tadi, demikian dilaporkan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, dalam ciapan Twitter terbarunya.
Ia bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.
Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.
Bagaimanapun, penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di ‘call room’ (bilik pemeriksaan).
Ia menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval, memenangi pingat emas dengan catatan 17.34m (diiktiraf sebagai rekod dunia) dan rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi, meraih perak dengan 17.30m.
Pingat gangsa pula menjadi milik peserta Greece, Efstratios Nikolaidis, dengan 15.93m.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia & Sukan, DS Ti Lian Ker memaklumkan secara lebih terperinci tentang kronologi isu rayuan Ziyad yang ditolak dalam sebuah hantaran terkini di Facebook kira-kira jam 9 pagi tadi:
Kronologi Rayuan Malaysia & Isu Bantahan Ukraine Terhadap Kemenangan Ziyad
Salam semua ! Maklumat terkini dari kontinjen Malaysia di Tokyo.
Sebagaimana maklum bahawa keputusan pertandingan Shot Put F 20 yang melibatkan atlit negara Mohd Ziyad Zolkifli yang telah beraksi cemerlang dengan dua kali memecahkan rekod dunia dan menduduki tempat pertama dengan lontaran 17.94 m telah dibatalkan oleh Pengadil Pertandingan ekoran dari kelewatan Ziyad dan dua atlit dari Ecuador dan Australia melaporkan diri ke pusat panggilan ( Call Rooms ) sebelum acara dilangsungkan.
Keputusan ini dibuat oleh pengadil pertandingan ekoran dari satu bantahan yang diterima dari atlet Ukraine bahawa ketiga-tiga atlit tersebut telah lewat melaporkan diri dan ini adalah bertentangan dengan Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic di Para 5 ( Failure To Report To The Call Rooms ) di mana seseorang atlit tersebut boleh dihalang menyertai pertandingan kerana kelewatan melaporkan diri atau pun dibenarkan menyertai pertandingan tertakluk kepada keputusan pengadil mengenai kesalahan kelewatan melaporkan diri ke pusat panggilan ( Call Rooms ) tersebut.
Sekiranya kesalahan tersebut terbukti dilakukan, maka keputusan atlit terbabit akan dicatitkan sebagai DNS.
Keputusan pertandingan bagi Ziyad dan atlit dari Ecuador dan Australia telah diputuskan sebagai DNS ( Did Not Start ).
Kronologi kejadian tersebut terjadi adalah kerana kelewatan yang didakwa berlaku apabila ketiga-tiga atlit masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke pusat panggilan tersebut pada masa panggilan yang tertera iaitu pada jam 5.55 petang waktu Tokyo.
Ekoran dari hujan yang turun selain dari keadaan di kawasan tersebut yang agak padat dengan atlit-atlit dari acara-acara yang lain, ketiga-tiga atlit tersebut telah terhalang untuk memasuki pusat panggilan dan pada ketika itulah mereka didakwa telah lewat melaporkan diri.
Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlit tersebut sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat panggilan. Selepas merayu supaya dibenarkan masuk ke pusat panggilan, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat ( under protest ) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan seperti tersebut di atas.
Semasa pertandingan berlangsung, pegawai pasukan Malaysia telah menerima pesanan ringkas bahawa terdapat bantahan rasmi terhadap penyertaan atlit negara dan atlit Ecuador dan Australia dan pengadil pertandingan mengklasifikasikan bahawa penyertaan ketiga-tiga atlit tersebut adalah bersyarat dan akan dianggap DNS. Pegawai Malaysia termasuk Ecuador dan Australia diminta hadir sekiranya ingin membuat rayuan terhadap keputusan pengadil tersebut.
Pada ketika itu Ziyad telah pun mencatatkan keputusan pecah rekod seperti yang disaksikan oleh seluruh dunia.
Kontinjen Malaysia diketuai oleh Ketua Kontinjen Datuk Seri Megat D Shahriman bersama-sama delegasi dari Ecuador dan Australia telah mengemukakan penjelasan dan seterusnya mengemukakan rayuan rasmi kepada Jkuasa Pertandingan Para Olahraga dengan memberikan justifikasi-justifikasi yang diharapkan dapat dipertimbangkan supaya penyertaan dan catatan yang dibuat oleh ketiga-tiga atlit tersebut sepatutnya dibenarkan dan bantahan Ukraine tersebut sepatutnya bukanlah satu kesalahan yang disengajakan selain dari ketiga-tiganya telah pun dibenarkan bertanding tetapi keputusan Juri Rayuan Olahraga tetap memihak kepada keputusan awal pengadil pertandingan yang memutuskan bahawa kesalahan telah dilakukan oleh ketiga-tiga atlit tersebut.
Rayuan Malaysia, Ecuador dan Australia telah ditolak oleh Juri Rayuan Para Olahraga World Para Athletics ( WPA )
( Sila rujuk Lampiran di bawah )
Ketua kontinjen Malaysia akan meneruskan rayuan Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Kontinjen pagi ini. Ketua kontinjen turut memaklumkan bahawa sekiranya Mesyuarat tersebut turut tidak memihak kepada Malaysia dan keputusan yang dibuat oleh Pengadil Pertandingan dan Juri Rayuan Para Olahraga Sukan Paralimpik Tokyo 2020 adalah kekal.
Bantahan Rasmi Akan Dibuat Selepas Temasya Tokyo Paralimpik 2020
Majlis Paralimpik Malaysia ( MPM ) dan Persatuan Olahraga Para Malaysia akan membuat bantahan rasmi kepada Majlis Paralimpik Antarabangsa ( IPC ) dan World Para Athletic ( WPA ) supaya dipertimbangkan semula rayuan ketiga-tiga negara tersebut agar penyertaan dan catatan mereka bagi acara Shot Put F20 Para Olahraga di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu diiktiraf sebagai penyertaan dan catitan rasmi kejohanan tersebut.
Namun demikian, bantahan ini hanya boleh dilakukan selepas temasya Tokyo Paralimpik 2020 berakhir. Sementara itu, kita terpaksa menerima keputusan acara tersebut seperti yang diputuskan.
Untuk makluman semua!
Sumber: DS Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan
Semoga rayuan Ziyad yang ditolak ini tidak menjatuhkan semangat atlet Malaysia, sebaliknya menjadi satu batu loncatan untuk terus berjuang di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Ziyad dalam sebuah hantarannya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan berterima kasih untuk sokongan yang diberikan.
Baca juga: Pingat Emas Malaysia Dibatalkan, Majlis Penyampaian Hadiah Ditangguhkan