Perniagaan Tidak Dapat Beroperasi Sepanjang PKP Diberi Moratorium Automatik

KUALA LUMPUR: Perniagaan yang tidak termasuk dalam senarai dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pekerja mereka boleh memohon moratorium serta diberikan kelulusan automatik, termasuk individu golongan M40 dan T20 yang terjejas pendapatan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan juga akan terus memberikan bantuan kewangan secara bersasar kepada perniagaan dan individu yang terjejas sepanjang sekatan pergerakan penuh berikutan pelaksanaan PKP 3.0.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini turut menyatakan moratorium automatik akan diberikan kepada golongan B40 jika mereka memohon, tidak kira sama ada terjejas pendapatan atau tidak.

Malah, tegasnya, individu M40 dan T20 yang terjejas pendapatan akan turut dibantu.

“Begitu juga perniagaan. Jika kewangan terkesan disebabkan sekatan pergerakan penuh, mereka boleh memohon moratorium dan akan diberikan secara automatik.

“Ia termasuk perniagaan yang berada dalam sektor tidak dibenarkan beroperasi oleh MKN sepanjang tempoh ini.

“Perniagaan dan individu yang terjejas layak mendapat bantuan moratorium. Namun, bagi yang tidak terjejas, mereka boleh membayar pinjaman seperti biasa,” katanya pada sidang media khas bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya, hari ini.

Sumber: Berita Harian

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: