15 Keping Permit Rentas Negeri Palsu, Siap Cop & Tanda Tangan Dirampas
KUALA LUMPUR: Polis merampas 15 keping dokumen permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), disyaki palsu daripada seorang lelaki dalam satu pemeriksaan di Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur di sini, awal pagi tadi.
Lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan cegah jenayah di lebuh raya terbabit kerana memandu dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 6.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata hasil pemeriksaan polis menemui 15 keping dokumen permit pergerakan PKPB yang mempunyai cop dan tanda tangan balai polis, disyaki dipalsukan di dalam kenderaan suspek.
“Siasatan masih dijalankan mengenai kegunaan dokumen palsu itu sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pihak yang berminat.
“Suspek direman empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, tindakan memalsukan permit pergerakan PKPB atas tujuan yang bertentangan dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sebarang maklumat berhubung kes berkenaan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
*Sumber: Harian Metro