Nafkah Yang Wajib Suami Beri Kepada Isteri & Anak
SENARAI NAFKAH YANG WAJIB SUAMI BERI KEPADA ISTERI, ANAK & TANGGUNGANNYA
Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada di bawah tanggungannya itu ialah seperti:
- Makanan
- Barang-barang dapur
- Pakaian
- Tempat tinggal
- Alat-alat untuk membersihkan diri
- Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
(Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/542)
Perkara ini turut termaktub dalam Seksyen 72, AKTA 303 / AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984, BAHAGIAN VI – NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN
Seksyen 72. Kewajipan menanggung nafkah anak
(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.
(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.
ISTERI MENUNTUT LUAR KEMAMPUAN SUAMI
Isteri tidak seharusnya membebankan suami seperti menuntut sesuatu diluar kemampuannya, sehingga boleh mendatangkan kemudaratan terhadap hubungan antara suami isteri.
Para ulama fiqh telah sepakat dalam pemberian nafkah terhadap isteri adalah wajib sekadar memenuhi keperluan asas dengan mengikut kemampuan suami, dan melihat kesesuaian tempat yang didiami oleh mereka.
Jangan sesekali meninggalkan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Pimpinlah keluarga kita dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM
Baca juga: Sumbangan Tunai Rahmah (STR Fasa 1)