Ini 9 Peristiwa Darurat Di Malaysia Yang Ramai Tak Tahu
Umum ketahui negara Malaysia baru sahaja melaksanakan darurat seperti yang siarkan secara langsung di kaca televisyen dan dikongsi di laman sosial media pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos. Darurat yang dilaksanakan ini adalah sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia yang semakin meningkat naik saban hari.
Untuk pengetahuan umum, darurat kali ini adalah kali yang ke-9 yang berlaku di negara Malaysia. Berikut kami senaraikan sejarah baki lapan lagi kisah darurat yang pernah berlaku di Malaysia.
1 – Darurat Tanah Melayu (1948-1960)
Setelah tentera Jepun menyerah kalah kepada British, berlaku kekosongan kuasa terutamanya di kawasan pendalaman. Kekosongan ini telah diisi dengan kebangkitan tentera-tentera yang berhaluan komunis iaitu Parti Komunis Malaya (PKM). Anggota-anggota komunis PKM telah bermaharajalela di Tanah Melayu ketika itu dengan bertindak zalim dan melulu.
Pembunuhan tiga orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak pada tahun 1948 telah menyebabkan British di Malaya mengisytiharkan darurat di seluruh kawasan Tanah Melayu dari tahun 1948 hingga 1960 bagi menangani pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).
2 – Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1964)
Konfrontasi Indonesia-Malaysia adalah konflik yang berlaku akibat penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia. Penentangan ini telah dilakukan oleh Presiden Sukarno kerana menganggap pembentukan Negara Federasi Malaysia adalah bentuk jajahan baru dan sebagai neokolonialisme Inggeris sahaja.
Tentangan Sukarno telah berubah daripada sekadar perang kata-kata menjadi konfrontasi ketenteraan. Askar-askar Indonesia mula dikerah untuk menyelinap masuk ke sempadan Malaysia. Akhirnya, Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan darurat berikutan daripada peningkatan aktiviti tentetra Indonesia ini.
3 – Sarawak (1966)
Kerajaan mengisytiharkan proklamasi Darurat di Sarawak pada 14 September 1966 susulan krisis politik membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Ketua Menteri Sarawak pertama Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.
4 – Rusuhan Kaum 13 Mei (1969)
Peristiwa 13 Mei adalah insiden rusuhan kaum pada tahun 1969 yang berlaku susulan pilihan raya umum Malaysia pada tahun itu. Peristiwa terbabit telah meragut nyawa serta harta benda dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.
Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di dalam negara.
5 – Kelantan (1977)
Darurat diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Yahya Petra yang juga Sultan Kelantan ketika itu pada 8 November 1977. Pengisytiharan itu dibuat susulan krisis politik membabitkan Menteri Besar Kelantan Datuk Muhammad Nasir.
Krisis politik tersebut bukan sahaja mengugat kestabilan politik malah menimbul rusuhan kecil. Darurat diluluskan oleh Parlimen pada ketika itu yang memberikan kuasa penuh kepada kerajaan pusat untuk memerintah negeri Kelantan.
6 – Jerebu (1997, 2005, 2013)
Selain darurat yang berpunca daripada isu politik dan konflik antara kaum, darurat jerebu juga pernah diisytihar pada 1997 (Sarawak), 2005 (Klang) dan 2013 (Muar dan Ledang). Darurat itu dilaksanakan susulan pencemaran udara yang berbahaya dan tidak sihat.
Punca jerebu yang melanda adalah akibat daripada kebakaran hutan di pulau Sumatera di Indonesia yang dipercayai disebabkan aktiviti membakar belukar dan hutan untuk membersihkan tanah semasa musim kering untuk tujuan pertanian.
7 – Darurat Parlimen Batu Sapi (2020)
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi pada 18 November 2020.
Pengisytiharan itu sekali gus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat penularan pandemik COVID-19.
8 – Darurat Parlimen Gerik dan DUN Bugaya (2020)
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah pada 16 Disember 2020.
Ia sekali gus membatalkan dan menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) dua kerusi berkenaan yang dijadualkan serentak pada 16 Jan 2021.
Sumber rujukan: Berita Harian