Kronologi Kes Zulfarhan: Dibelasah Kerana Dituduh Curi Laptop Oleh ‘Bomoh’

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.

Hakim berkata di peringkat pendakwaan, Dr Salmah memberitahu bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur di hampir keseluruhan badan termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar mangsa.

Mereka terdiri daripada Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Berikut kronologi kes:

21 Mei 2017
Zulfarhan disoal siasat berhubung kehilangan komputer riba sebelum dibelasah beramai-ramai menggunakan seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.

Baca: Bapa seorang tertuduh boleh ‘tengok’ siapa curi komputer riba

27 Mei 2017
Mangsa dibawa ke sebuah klinik swasta di Bandar Baru Bangi dan dibenarkan pulang.

31 Mei 2017
Mangsa dihantar ke sebuah kondominium di Bangi untuk berehat oleh dua pelajar UPNM.

1 Jun 2017
Saksi melihat Zulfarhan kaku sebelum dibawa ke Hospital Serdang dan disahkan meninggal dunia.

2 Jun 2017
Jenazah Zulfarhan diserahkan kepada keluarga dan dikebumikan di Johor.

14 Jun 2017
Enam penuntut UPNM dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain.

12 November 2017
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pendakwaan untuk menggabungkan perbicaraan 19 penuntut UPNM yang didakwa membunuh, subahat bunuh dan mencederakan Zulfarhan.

29 Januari 2018
Perbicaraan bermula. Pihak pendakwaan memanggil 31 saksi memberi keterangan antaranya Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr. Salmah Arshad.

31 Julai 2019
18 penuntut UPNM dipanggil membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Seorang lagi, Muhammad Akmal Akif Alias dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mencederakan mangsa.

Pesalah kes ini terdiri daripada Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

2 Oktober 2019
Kes pembelaan bermula. Seramai 20 saksi termasuk Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr. Rohayu Shahar Adnan memberi keterangan.

8 April 2021
Pembelaan menutup kes.

29 dan 30 September 2021
Penghujahan akhir kes pembelaan

2 November 2021
Keputusan akhir kes pembelaan.

Reaksi Ibu Bapa Zulfarhan

Sebak dan berharap agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap tertuduh, Osman bagaimanapun secara jujurnya telah memaafkan perbuatan kesemua tertuduh.

Sumner foto: Shahir Omar, Astro Awani

“Berat hati nak cakap, tetapi secara jujurnya saya memaafkan perbuatan tertuduh,” katanya.

Menurutnya, setakat ini hanya keluarga kepada seorang tertuduh sahaja yang datang berjumpa dengannya dan memohon maaf atas kejadian terbabit.

“Hanya ada satu keluarga tertuduh jumpa saya minta maaf, yang lain tidak berbuat demikian. Ia seolah-olah anak saya pula bersalah dan membunuh. Janganlah begitu, jangan kita memutuskan tali silaturarhim, berbuat baiklah,” ujarnya.

Manakala, ibu Allahyarham Zulfarhan yang kini masih mengalami trauma, katarak serius dan penyakit darah tinggi akibat kerap menangis dan susah untuk tidur berkata, Allahyarham anak sulungnya itu menjadi harapan buat keluarganya untuk membantu  membiayai adik lain menyambung pelajaran di universiti memandangkan ayahnya kini telahpun bersara dan hanya memandu teksi.

“Kehilangan arwah beri kesan kepada saya dan suami kerana kami menanam impian arwah akan menjaga kami ketika usia tua.

“Saya juga mengalami kesedihan berpanjangan apabila nama arwah disebut. Arwah adalah lambang kasih sayang pertama saya dan suami dalam membina rumah tangga.

“Saya mengalami katarak serius akibat kerap menangis yang melampau serta mengalami darah tinggi kerana tidak dapat tidur malam.

“Kejadian ini menyebabkan saya trauma untuk melepaskan anak-anak sendirian menyambung pelajaran di peringkat tertinggi kerana bimbang kejadian sebegini akan berulang kembali,” jelasnya.

Terdahulu, Allahyarham Zulfarhan Osman yang menuntut di UPNM maut dalam insiden menyayat hati akibat didera, ditendang dan ditekap seterika wap sehingga beliau mengalami komplikasi luka lecur membabitkan hampir 80 peratus dipermukaan badannya.

*Al fatihah buat Allayarham Zulfarhan Osman. Semoga ada keadilan buat kamu di akhirat kelak. Tenanglah di kau disana.

(Sumber: Utusan Digital, xtra.com.my)

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: