Kes Rosmah Mansor: Hukuman Penjara 10 Tahun, Denda RM970 Juta

[TERKINI]

  • Kes projek hibrid solar: Mahkamah Tinggi KL menjatuhi hukuman penjara 30 tahun, denda RM970 juta ke atas Rosmah Mansor
  • Mahkamah Tinggi KL benarkan permohonan Rosmah Mansor tangguh pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan

Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap Rosmah.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.

Hukuman Penjara 10 Tahun Bagi Setiap Pertuduhan, Denda RM970 Juta

Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, dan denda RM970 juta ke atas Datin Seri Rosmah Mansor.

Kegagalan membayar denda tersebut akan mengakibatkan Rosmah dipenjara sepuluh tahun bagi setiap pertuduhan, dan perlu dijalankan secara berturutan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut membenarkan permohonan pembelaan agar kesemua hukuman itu ditangguhkan sehingga selesai proses rayuan di peringkat akhir.

Terdahulu, awal hari ini pihak pendakwaan membantah permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Datin Seri Rosmah memfailkan permohonan itu di saat akhir atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran penghakiman kes itu yang disediakan oleh pihak lain.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata ‘penghakiman’ bocor yang dirujuk oleh Rosmah pemohon bukanlah penghakiman bertulis.

https://twitter.com/bernamadotcom/status/1565257793761734656

‘Saya tak pernah ambil wang walau satu sen, tolonglah kasihan pada saya’ – Rosmah

Suasana mahkamah bertukar hening apabila Datin Seri Rosmah Mansor, yang baru didapati bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan projek solar di Sarawak, menitiskan air mata sambil memohon diringankan hukuman ke atasnya.

Tanpa sebarang teks, isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu mendakwa beliau merupakan mangsa keadaan dan tidak sepatutnya menanggung hukuman atas jenayah yang dilakukan orang lain.

Dari kandang tertuduh, Rosmah memberitahu mahkamah ada pihak lain yang masih bebas, sedangkan beliau langsung tidak mengetahui berhubung urus niaga dengan Jepak Holdings.

“Saya tak pernah ambil wang walau satu sen, tolonglah kasihan pada saya, jika ia boleh berlaku kepada saya, ia boleh berlaku kepada setiap anak cucu anda,” katanya ketika diberi peluang untuk merayu agar hukuman diringankan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Sumber: BERNAMA, Sinar Harian, Astro Awani

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: