Kanak-kanak 3 Tahun Maut, Dipercayai Didera Pengasuh

kanak-kanak maut didera

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai didera ketika di bawah jagaan pengasuh di sebuah kediaman di Taman Skudai, di sini, Ahad malam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, susulan itu polis hari ini menahan lelaki tempatan berusia 28 tahun yang juga rakan bapa mangsa, serta pembantu rumahnya, wanita warga asing berusia 40 tahun.

Katanya, kedua-dua mereka dipercayai menjadi pengasuh kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata, polis menerima aduan mengenai kematian kanak-kanak itu pada jam 11 malam Ahad.

“Aduan itu dibuat bapa mangsa, sejurus dia dimaklumkan mengenai perkara terbabit daripada suspek lelaki sendiri.

“(Berdasar siasatan awal) mangsa yang sepatutnya dijaga oleh pengasuh telah diabaikan dan (suspek) telah menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kematiannya.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika hadir ke lokasi kejadian, malam ini.

Tambah kamarul, pemeriksaan awal menemui kesan lebam dan luka pada badan mangsa dan mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat.

Menurut beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Sementara itu, memetik sumber dari Harian Metro melaporkan, suspek diupah menjaga dua anak mangsa iaitu yang kanak-kanak yang meninggal dunia itu serta adik perempuannya yang berusia setahun, dengan bayaran RM2,800 sebulan, manakala isteri mangsa pula bekerja di Yong Peng, Batu Pahat. 

Katanya, polis sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah suspek selain merampas beberapa barang kes bagi siasatan lanjut. 

“Menerusi pemeriksaan polis mendapati suspek lelaki turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah.

Polis beri jaminan akan menyiasat segala aspek bagi memastikan dalang yang menyebabkan kematian kanak-kanak malang itu dibawa ke mula pengadilan.

Sumber: Astro Awani