Hukum Meninggalkan Solat Jumaat & Berjemaah Di Masjid Ketika PKP

HUKUM MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT DAN SOLAT BERJEMAAH DI MASJID DAN SURAU SEMASA PKP

Harus hukumnya untuk meninggalkan solat Jumaat di masjid walaupun tiga kali berturut-turut dalam tempoh PKP ini, namun wajib digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

Perkara ini diterangkan oleh YB Senator Datuk Dr Zulkifli Al Bakri menerusi Soal Jawab Fiqh COVID19.

Berikut dipetik ulasan berkaitan dalam buku tersebut dari halaman 42.

Apakah Hukum Solat Jumaat Dalam Suasana Wabak COVID-19 (PKP)?

Pertama sekali, untuk melaksanakan solat Jumaat, ia perlulah dilihat kepada tempat – yakni dalam bentuk kawasan yang besar – sama ada sesuatu kawasan atau negara itu selamat daripada wabak COVID-19 ataupun tidak.

Pada masa kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun mengisytiharkan bahawa
penyebaran wabak COVID-19 di seluruh dunia telah mencapai paras pandemik.

Dalam keadaan pesakit baru yang semakin bertambah dan angka kematian yang semakin meningkat, begitu juga keadaan seseorang jemaah yang tidak dapat dipastikan sama ada dijangkiti ataupun tidak, maka dalam keadaan ini kita hendaklah mematuhi arahan pihak berwajib.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa, penularan wabak COVID-19 ini ternyata mencetuskan satu ketakutan dan kebimbangan yang tinggi.

Justeru, satu perbincangan telah diadakan menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020 dan kesemua telah bersetuju dengan penangguhan aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah, berdasarkan pertimbangan terhadap mudarat yang amat besar.

Ini berdasarkan perkembangan semasa peningkatan kes-kes positif COVID-19. Justeru, penangguhan aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah turut dilanjutkan sehingga berakhirnya tempoh PKP.

Dalam keadaan seperti ini, ia diputuskan atas dasar kebertanggungjawaban pemerintah berdasarkan kaedah:

Tasarruful imam manutun bil al-maslahah

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahat terhadap rakyat.”. (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 121

Para ulama’ menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahat dan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya iaitu rakyat yang
berada di bawah tadbir urusnya.

Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka
tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut syarak. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/308)

*Rujukan penuh: Soal Jawab Fiqh COVID19

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: