Rakyat Malaysia Berpeluang Saksikan Hujan Meteor Perseids Malam Ini
Orang ramai dijangka akan dapat melihat fenomena angkasa yang dikenali sebagai Hujan Meteor Perseids yang berlaku setiap tahun pada 17 Julai hingga 24 Ogos dan kemuncaknya dijangka akan berlaku lewat malam 12 Ogos hingga awal pagi 13 Ogos 2021.
Semasa kemuncak fenomena ini berlaku, dijangka secara purata sekitar 60 hingga 100 meteor sejam dan boleh mencecah sehingga 150 meteor sejam.
Perkara ini dimaklumkan oleh Planetarium Negara dan Agensi Angkasa Malaysia – MYSA melalui laman sosial rasmi mereka.
Pancuran Meteor Perseids selalunya bersinar dengan terang dan mudah dilihat sekiranya cuaca baik.
Anda boleh menyaksikan fenomena ini hanya dengan menggunakan mata kasar dari lokasi yang gelap dan bebas dari pencemaran cahaya.
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang hujan Meteor Perseids yang dijangka akan berlaku pada malam 12 Ogos 2021.
Apakah Hujan Meteor Perseids?
Nama Perseids adalah merujuk kepada titik kemunculan pancuran meteor ini di langit iaitu di kawasan buruj Perseus.
Pancuran Meteor Perseids berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet Swift-Tuttle.
Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.
- Komet merupakan pepejal gabungan antara batuan debu dan ais yang tersebar apabila mengorbit mendekati matahari.
- Komet Swift-Tuttle pertama kali dijumpai pada tahun 1862 oleh Lewis Swift dan Horace Tuttle
- Perseus ialah buruj langit utara. Ia terletak di antara buruj Auriga dengan buruj Cassiopeia.
- Mirfak, bintang yang paling terang di Perseus , adalah lebih besar daripada matahari.
Persediaan Menyaksikan Hujan Meteor Perseids, 12 Ogos 2021
Apa keperluan yang perlu untuk melihat Fenomena Hujan Meteor ini?
- Berada di kawasan yang gelap, hitam pekat.
- Jika malam masih muda, boleh keluar rumah dan cari sudut yang benar benar hitam pekat beserta cuaca yang baik, lalu pandang ke langit.
- Seeloknya pilih kawasan yang tiada gangguan cahaya hatta lampu jalan sekalipun. Tiada pokok tinggi, bangunan, bukit-bukau yang menghalang pemandangan kita ke arah langit Bumi.
- Relaks kan mata selama 20-30 minit, hanya pandang ke langit gelap, supaya mata kita mudah lihat objek langit.
- Tidak perlu teleskop, cukup melihat dengan mata kasar sahaja. Pintasan jalur meteor bergerak sangat laju.
- Ciri-ciri meteor adalah ia bergerak memasuki lapisan atmosfera, kemudian terlihat seperti jalur dan lenyap terbakar lalu hilang. Dalam seminit boleh lihat 2-3 kali meteor ini keluar.
- Jika ingin merakam menggunakan SLR boleh mengunakan tetapan ISO 1600-2500, Aperture f1.2- f 4.5, Shutter 15-30 saat
Saksikan cerapan fenomena ini secara langsung di Dark Sky Malaysia pada hari Khamis 12 Ogos 2021, pukul 8 malam melalui https://www.facebook.com/darkskymalaysia
*Sumber: Agensi Angkasa Malaysia – MYSA
Baca juga: Bahaya Kalau Salah Ambil, Ini Jenis Panadol Dan Fungsinya