Kanak-kanak Lelaki 4 Tahun Kritikal, Ada Dadah Dalam Badan

Kota Bharu: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal akibat terdapat kandungan dadah dalam badan dan kini sedang menerima rawatan di hospital dan terpaksa ditidurkan.

Memetik laporan Harian Metro, ibunya yang berusia 36 tahun memaklumkan anak bongsunya yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tidak menunjukkan sebarang tanda positif. Difahamkan, mangsa yang berada dalam keadaan sangat lemah terpaksa ditidurkan.

Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan kerana keadaannya yang sangat lemah kesan daripada dadah itu.

Pilu hati saya melihat keadaannya sebegitu dan walaupun dia tidak sedarkan diri, saya tetap berbisik di telinganya agar bukakan mata dan segera sembuh. Saya hanya inginkan anak sedar sahaja, tidak mengapa kalau dia tidak boleh berjalan atau ada kesan lain, itu sahaja yang saya harapkan.

Tambah ibu kepada tiga anak ini, anak bongsunya itu adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah pertuturan (lambat) dan baru boleh berjalan.

Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia empat tahun kritikal selepas dikesan terdapat dadah jenis methampethamine dalam badannya. Susulan daripada itu, seorang buruh yang juga bapa saudara mangsa telah ditahan untuk membantu siasatan.

Mangsa yang tinggal di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) jam 5 pagi semalam oleh ibunya untuk rawatan sebelum pihak hospital melaporkan kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dan sebaik pemeriksaan dibuat mendapati dalam badannya terdapat kandungan dadah jenis methampethamine.

“Siasatan mendapati kanak-kanak lelaki ini dipercayai dibawa bapa saudaranya ke suatu tempat dan belum dapat dipastikan lagi sama ada mangsa diberikan dadah atau dibiarkan terdedah dengan bahan larangan itu sebelum memasukkannya dalam badan.

“Susulan itu, bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan jam 10 malam tadi dan soal siasat yang dibuat, suspek mengaku membawa anak saudaranya itu ke sesuatu tempat tapi menafikan ada memberinya dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, mangsa yang kini masih kritikal sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan pihaknya sedang menunggu laporan lanjut.

Katanya, hasil ujian saringan yang dibuat ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methampethamine dan turut memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah.

“Permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sumber: Harian Metro

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: