Update Terkini Insiden LRT: 6 Mangsa Masih Kritikal, 15 Separa Kritikal
UPDATE TERKINI INSIDEN LRT
Seramai 213 orang penumpang terlibat dalam insiden LRT apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung dalam kemalangan yang mengejutkan malam tadi.
Setakat jam 6.54 pagi, terdapat 6 mangsa masih kritikal, di mana 3 daripada mereka diintubasi / diberi bantuan pernafasan (intubated).
Manakala, 15 individu dalam keadaan separa kritikal, 43 pula tidak kritikal.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan kemas kini tersebut di dalam ciapan Twitter di bawah:
Baca juga: Kemalangan LRT: 2 Tren Berlanggar Di Laluan Bawah Tanah KLCC
Dalam ciapan beliau juga menyatakan, laporan awal difahamkan train bawa penumpang dengan train kosong (TR 40 dgn TR 81) berlanggar menyebabkan ada penumpang tercampak dan jatuh.
Tren yang terlibat adalah dari Stesen Ampang dan kejadian berlaku di laluan bawah tanah KLCC.
Beliau juga mengingatkan orang ramai tidak membuat rumusan sendiri tentang punca kemalangan LRT malam tadi supaya tidak mengganggu penyiasatan yang sedang di lakukan pihak berwajib, khususnya PDRM dan PRASARANA.
Segala usaha sedang di buat oleh PRASARANA untuk memastikan perkhidmatan LRT pulih.
‘Impak Pelanggaran Sangat Kuat’ – Mangsa Kemalangan Insiden LRT
Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, mangsa mengatakan kemalangan itu berlaku dalam sekelip mata.
“Ketika dalam perjalanan menuju ke arah stesen Kampung Baru, tren tiba-tiba berhenti mengejut hingga menyebabkan sebahagian penumpang tercampak dan terpelanting dalam tren.
“Sekelip mata saja kemalangan berlaku dan keadaan di dalam tren bertukar menjadi panik,” katanya ketika dihubungi malam tadi.” kata Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27.
“Sebelum kejadian, tren ada berhenti selama 15 minit dan kemudian bergerak semula. Tak sampai 10 saat bergerak, berlaku pelanggaran dan impaknya sangat kuat.
“Saya cedera di kepala, kaki kiri dan sakit dada,” katanya.
Afiq berkata, dia dan penumpang lain dibawa keluar oleh pasukan keselamatan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Dalam sebuah lagi perkembangan, Bernama melaporkan ibu kepada seorang penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) yang cedera, Mazuin Bahari, 51, berkata hatinya bimbang apabila anaknya, Tengku Ahmad Raiyan Tengku Naha, 27, menghubunginya bagi memaklumkan kejadian itu.
“Saat Raiyan bagi tahu tren yang dia naik alami kemalangan, hati saya dah tak sedap, bimbang keselamatan dia.
“Waktu dia (Raiyan) telefon itu, dia beritahu kaki kanannya tidak boleh digerakkan selain turut berasa sakit pada bahu akibat hentakan kuat.
“Saat itu saya bersama suami terus bergegas ke lokasi kejadian, namun diberitahu semua mangsa telah dibawa ke hospital,” katanya yang sama sekali tidak menyangka kejadian itu berlaku di negara ini, kerana baginya berita kemalangan seumpama itu biasa didengarnya berlaku di luar negara sahaja.
Seorang lagi ibu mangsa, Syafiza Abd Hashib, 45, berkata beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan daripada anaknya Adzleen Syzarenna, 24, melalui satu nombor telefon yang tidak dikenali.
Syafiza berkata, anaknya yang bekerja di sebuah bank di Ampang sering menggunakan pengangkutan awam itu untuk berulang-alik ke rumah sewanya di Subang.
“Anak telefon dan beritahu terbabit dalam kemalangan tren, dan kejadian itu baharu seminit berlaku, dan dia bagi tahu cedera di bahagian pergelangan kaki dan tak boleh bangun.
“Saya terkejut dan terus ke lokasi kejadian, sempat berjumpa dengan dia yang masih berada dalam keadaan terkejut,” katanya.
*Sumber: https://twitter.com/AnnuarMusa, Berita Harian