Cuti Hari Pekerja 2022 & Cuti Ganti (Labour Day)
Seperti yang ramai dah sedai maklum, cuti Hari Pekerja jatuh pada 1 Mei setiap tahun.
Mungkin dah ramai yang merancang nak ambil cuti kalau tarikh tersebut jatuh berdekatan dengan hujung minggu kan?
Jom kita tengok kalendar bulan Mei 2022 untuk mengetahui lebih lanjut tentang Cuti Hari Buruh @ Labour Day bagi tahun ini.
Apakah Hari Pekerja?
Tahukah anda, Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun ini merupakan satu sambutan tahunan peringkat antarabangsa.
Hari tersebut telah diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am oleh lebih 80 buah negara di seluruh dunia dan kebanyakannya diraikan dengan sambutan-sambutan secara tidak rasmi anjuran kesatuan sekerja.
Menyoroti sejarah, Hari Pekerja Antarabangsa yang juga dikenali sebagai ‘May Day’ atau Hari Mei telah ditetapkan sebagai acara tahunan semasa persidangan Kongres Pekerja Antarabangsa di Paris, Perancis pada tahun 1891.
Bagaimana tarikh 1 Mei dipilih untuk sambutan ini?
Tarikh 1 Mei digunakan kerana pada tahun 1884, Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh di Kanada memohon agar lapan jam waktu bekerja di Amerika Syarikat dikuatkuasakan pada 1 Mei 1886.
Ini mengakibatkan peristiwa mogok Haymarket di Chicago (Haymarket Massacre) yang membabitkan kematian 4 orang pekerja.
Sejak itu, ahli-ahli kesatuan sekerja di seluruh dunia telah diwajibkan untuk tidak bekerja pada 1 Mei dan digesa untuk menjalankan demonstrasi bagi penetapan waktu bekerja sehari dan memperjuangkan hak-hak tempat kerja yang selamat.
Baca juga: Tarikh Sambutan Hari Ibu 2022 Di Malaysia
Sejarah Sambutan 1 Mei Di Malaysia
Di Malaysia, Hari Pekerja diiktiraf secara rasminya pada tahun 1973 setelah mantan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mengumumkan 1 Mei sebagai hari kelepasan am bagi pekerja pada 20 Mei 1972.
Pengumuman itu dianggap penting kerana ia bukan sahaja mengiktiraf sumbangan pekerja, malah secara tidak langsung menunjukkan bahawa Malaysia turut bersetuju dengan keputusan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang meluluskan 1 Mei sebagai Hari Pekerja atau Hari Mei.
Baca juga : Cara Daftar & Tambah Nilai Kad Touch N Go Baru (NFC)
Tarikh Cuti Hari Pekerja 2022 & Cuti Ganti
Di Malaysia, 1 Mei adalah cuti umum bagi setiap negeri.
Bagi tahun 2022, 1 Mei jatuh pada hari Ahad.
Ini bermakna, cuti ini akan dibawa ke hadapan (carry forward) kepada hari Isnin bagi negeri-negeri Kumpulan B iaitu negeri SELAIN Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu.
Ini kerana cuti gantian secara automatik pada hari berikutnya akan diberikan jika hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan (Jumaat atau Ahad) mengikut negeri masing-masing.
Manakala bagi pekerja swasta yang tertakluk di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265], majikan di Negeri Kumpulan B hendaklah memberikan hari kelepasan am berbayar pada Isnin, 2 Mei 2022.
Penjawat awam adalah tidak tertakluk di bawah Akta 265. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Akta 265 hendaklah dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia.
NOTA:
Negeri Kumpulan A – Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu
Negeri Kumpulan B – Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya
PELUANG BERCUTI PANJANG SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI
Umat Islam di Malaysia berpeluang menikmati cuti sehingga 9 hari bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ia berikutan cuti umum Aidilfitri yang jatuh sejajar dengan cuti hujung minggu dan cuti umum Hari Pekerja.
Bagi golongan pekerja yang bekerja dari Isnin hingga Jumaat, mereka sudah boleh mula bercuti pada Sabtu iaitu 30 April.
Sementara 1 Mei iaitu pada Ahad pula adalah cuti umum Hari Pekerja, menyebabkan hari Isnin iaitu pada 2 Mei merupakan cuti ganti bagi hari cuti umum tersebut.
Cuti umum Hari Raya Aidilfitri pula jatuh pada 3 dan 4 Mei iaitu hari Selasa dan Rabu, sekali gus menjadikan jumlah cuti ketika itu sudah menjangkau lima hari.
Sekiranya pekerja terbabit mengambil cuti pada Khamis dan Jumaat, maka mereka boleh menyambut cuti hari raya sehingga sembilan hari termasuk pada Sabtu serta Ahad.
Jadi tidak hairanlah sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka paling meriah, tambahan selepas dua tahun tidak pulang beraya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19.