Pernah Cecah 192kg Pada Usia 9 Tahun, Kini Berjaya Turunkan 110kg Tanpa Ubat
Pada tahun 2016 dahulu pernah tular tentang seorang kanak-kanak 9 tahun di Indonesia yang mempunyai berat badan berlebihan mencecah 192 kg – sekaligus direkodkan sebagai kanak-kanak paling gemuk di dunia.
Difahamkan mengalami morbid obesity, berat badan Arya Permana ketika tahun 2016 itu menjadikannya tidak mampu untuk pergi ke sekolah yang jaraknya hanya 30 meter dari rumahnya kerana mudah sesak nafas jika berjalan.
Bagaimana ia bermula?
Pada usia 5 tahun, Arya Permana dikhabarkan suka makan hingga tidak menjaga diet. Sehingga ketika usianya mencapai 8 tahun, berat badan Arya bertambah dengan drastik.
Akhirnya Arya hanya mampu menghabiskan sepanjang waktu di rumah.
Keadaan ini tentunya amat membimbangkan kedua ibu bapanya, namun mereka tidak tahu cara untuk mengatasi masalah ini.
Mula Mengamalkan Diet Seimbang Pada Usia 9 Tahun (2016)
Menurut ibunya, dulu Arya akan makan dua pinggan setiap kali makan, di mana dia akan makan 5 kali sehari.
“Mi dua mangkuk, bakso dua mangkuk, beli bubur dua mangkuk. Tidak ada yang semangkuk…. Kalau tidak dibuatkan dia akan marah, hingga menangis-nangis,” kata ibunya.
Demi menyelamatkan nyawanya, Arya telah dipantau oleh 13 doktor di Rumah Sakit Hasan Sadikin Bandung yang terdiri daripada pakar pemakanan, pakar kesihatan mental, serta doktor-doktor dengan pelbagai kepakaran.
Pola makannya juga diubah dan tidak boleh makan selepas jam 6 petang. Dia juga mengurangkan makan mi segera dan air manis.
Setelah sebulan diet dan ‘berpuasa’, berat badan berhasil Arya turun dari 192 kilogram menjadi 188 kilogram.
Pada April 2017, Arya menjalani pembedahan bariatrik, di mana 50% daripada ususnya dikecilkan.
Ketika menjalani diet selepas pembedahan itu, Arya mengurangkan kuantiti makanan yang diambilnya dan mengelakkan minuman manis.
Dengan bertukar kepada corak makan yang lebih sihat dan makan hanya 3 kali sehari, Arya sudah kenyang hanya dengan 4-5 suap sahaja.
Berbanding dulu, Arya kerap makan 3-4 bungkus mee segera dalam sehari atau memakan portion makanan 3-4 orang dewasa.
Dia juga mengambil susu protein dengan arahan doktor.
Pada Julai 2018, berat badan Arya Permana turun hingga 91 kilogram menjadi 101 kilogram.
Akibat penurunan berat badan yang banyak, Arya juga perlu menjalani pembedahan untuk menghilangkan kulit lebihan yang menggelebeh pada tubuhnya.
Kini Boleh Bersukan & Bergerak Aktif Pada Usia 15 Tahun (2022)
Sejak pertengahan 2016, seorang jurulatih senaman, Ade Rai membantu Arya untuk menurunkan berat badannya.
Pada awalnya Arya diajar untuk melakukan senaman yang ‘ringan-ringan’ seperti ‘push up’ di tembok.
Selain mula aktif dalam sukan bola keranjang di sekolah, Arya juga kini boleh menyertai sukan seperti bola sepak dan renang.
Arya mengaku menjalani semua senaman tanpa paksaan dari mana-mana pihak dan tidak mengamalkan sebarang ubat / pil diet.
Sehingga kini, berat badannya menjadi 83 kg dan keazamannya membuahkan hasil luar biasa kerana telah berjaya turun hampir 110 kg. Bukankah itu sangat menakjubkan!
Semoga kisah ini menjadi pembakar semangat untuk mereka yang baru mula berdiet dan menjalani kehidupan yang sihat serta aktif.
Sumber: DetikHealth, Kompas.com