10 Amalan Sunat Menyambut Hari Raya Aidiladha

10 Amalan Sunat Menyambut Hari Raya Aidiladha

Alhamdulillah, setelah 2 tahun berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, umat Islam dapat menjalani ibadah korban dan menyambut Hari Raya Aidiladha seperti biasa.

Mungkin ada yang terlupa apakah amalan sunat yang boleh dilakukan ketika menyambut Hari Raya Aidiladha.

Berikut dikongsikan perkongsian oleh Ustazah Asma Harun untuk panduan umat Islam bersama.

10 Amalan Sunat Menyambut Hari Raya Aidiladha

Hari Raya Aidiladha adalah satu pertalian sejarah dengan kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. membuktikan ketaqwaan yang sebenar kepada Allah SWT.

Sebagai tanda memperingati peristiwa tersebut, kita digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban bermula selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah.

SubhanAllah, walaupun ia adalah sunat muakkad (yang dituntut), namun ibadah tersebut merupakan syiar bagi umat Islam untuk menunaikannya.

Zahirkanlah rasa kesyukuran dan kegembiraan kita kali ini dengan mencontohi teladan Rasulullah SAW ketika menyambut Hari Raya Aidiladha.

Antara amalan yang kita boleh lakukan ialah:

1) MENGHIDUPKAN MALAM RAYA

Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَحْيَا لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسٕباً لِله لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ القُلُوب
Maksudnya: “Sesiapa menghidupkan kedua-dua malam Hari Raya (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha), pasti tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati.”
(HR Ibn Majah, hadis dhaif)

Walaupun hadis ini lemah, namun ia termasuk dalam kelebihan beramal dan dibenarkan oleh jumhur ulama.

Oleh itu, kita boleh menghidupkan malam hari raya dengan solat berjemaaah, solat sunat, membaca Al-Quran, bertasbih, istighfar, bertakbir dan sebagainya.

2) MEMPERBANYAKKAN BERTAKBIR

Hari Raya Aidiladha juga merupakan salah satu tanda kebesaran Allah, maka kita digalakkan untuk perbanyakkan takbir.

Daripada Ali dan Ammar r.anhuma, mereka menceritakan:
كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ
Maksudnya: “Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.”
(HR al-Hakim, hadis sahih)

Terdapat dua jenis takbir pada hari raya:
i. Takbir Mursal atau Mutlaq (المرسل أو المطلق)
Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.
ii. Takbir Muqayyad (المقيد)
Bermula dari solat Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).

LAFAZ TAKBIR

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Maksudnya: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan untuk Allah segala pujian.”

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Maksudnya: “Allah Maha Besar dengan sebenar-benar kebesaran-Nya, dan pujian bagi Allah sebanyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang kafir.
Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya dan memuliakan tentera-Nya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.”

3) MANDI SUNAT HARI RAYA

Kita digalakkan untuk mandi sunat pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sama ada menghadiri solat sunat raya ataupun tidak.

Dalilnya diambil berdasarkan amalan para sahabat:
عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya: “Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar r.a. mandi pada Hari Raya Aidilfitri sebelum pergi ke tempat solat.”
(Muwatta’ Malik, hadis sahih)

4) MEMAKAI PAKAIAN YANG TERBAIK

Imam Syafie menjelaskan dalam kitab al-Umm:
Maksudnya: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

Ibnu Umar juga pernah memakai pakaian yang terbaik pada dua hari raya.

5) MENUNAIKAN SOLAT SUNAT AIDILADHA

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ
Maksudnya: “Ketika Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan), dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai.”
(HR Bukhari, Hadis Sahih)

TATACARA MENUNAIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA: Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha Berjemaah & Sendirian

6) MENJAMAH MAKANAN SELEPAS SOLAT HARI RAYA AIDILADHA

Disunatkan untuk tidak mengambil sarapan sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلَا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي
Maksudnya: Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.”
(HR at-Tirmidzi, hadis sahih)

7) MENYEMBELIH HAIWAN KORBAN

Sembelihan haiwan korban dilakukan selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW:

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ ضَحَّى خَالٌ لِي يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاتُكَ شَاةُ لَحْمٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عِنْدِي دَاجِنًا جَذَعَةً مِنْ الْمَعَزِ قَالَ اذْبَحْهَا وَلَنْ تَصْلُحَ لِغَيْرِكَ ثُمَّ قَالَ مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَإِنَّمَا يَذْبَحُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ ذَبَحَ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَقَدْ تَمَّ نُسُكُهُ وَأَصَابَ سُنَّةَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Daripada al-Barra` bin Azib r.a. dia berkata: “Pakcikku, Abu Burdah pernah menyembelih binatang korban sebelum solat hari raya.” Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Kambingmu hanya berupa daging biasa (bukan daging korban).”
Lantas Abu Burdah berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku hanya memiliki seekor jad’ah (anak kambing yang berusia dua tahun).”
Baginda bersabda: “Berkorbanlah dengan kambing tersebut, namun hal itu tidak sah untuk selain kamu.”
Kemudian Baginda melanjutkan sabdanya: “Barangsiapa berkorban sebelum solat (Aidiladha), dia hanya menyembelih untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa menyembelih setelah solat (Aidiladha), maka sempurnalah ibadahnya dan dia telah melaksanakan sunnah kaum muslimin dengan tepat.”
(HR Bukhari, hadis sahih)

8) MAKAN DAGING KORBAN DAN BERIKAN SEDEKAH KEPADA ASNAF DAN FAKIR MISKIN

Firman Allah SWT:
فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.”
(Surah al-Hajj: 28)

9) SALING MENDOAKAN

Antara doa yang boleh diucapkan adalah:
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu.”

Daripada Jubair bin Nufair r.a. katanya:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).”
(Fath al-Bari, Sanad hasan)

10) MENGERATKAN HUBUNGAN SILATURAHIM

Allah SWT berfirman:
وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبً
Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”
(Surah al-Nisa’: 1)

Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.”
(HR al-Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha buat seluruh Muslimin dan Muslimat. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan diterima Allah SWT dan menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.

تَقَبَلَ اللّٰهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ

Semoga bermanfaat buat semua.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: