Mayat 2 Remaja Hilang Ditemui Dalam Alphard, Dipercayai Meninggal Dunia 4-5 Hari Lalu

Kuala Lumpur: Dua remaja yang ditemukan mati di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan parkir kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, Ahad lalu, dipercayai sudah meninggal dunia antara empat atau lima hari lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, punca kematian kedua-dua remaja berusia 19 tahun itu masih dalam siasatan.

“Siasatan awal dilakukan mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berkenaan berada di kawasan parkir itu selama lima hari. Ketika ditemui, enjin kenderaan berkenaan tidak hidup.

“Kita terima laporan kehilangan kedua-dua remaja berkenaan yang masing-masing dibuat oleh ahli keluarga mereka di Klang dan Shah Alam, Selangor pada 23 dan 24 Mei lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu akhbar tempatan melaporkan dua remaja ditemukan meninggal dunia di dalam MPV berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam 8.26 malam, Ahad lalu.

blank

Muhammad Idzam dipetik berkata, siasatan di lokasi menemukan mayat remaja perempuan di bahagian penumpang hadapan, manakala lelaki terbabit berada di bahagian penumpang belakang MPV berkenaan.

Kedua-dua mayat remaja berusia 19 tahun ditemui selepas polis menerima aduan daripada orang awam pada jam 8.26 malam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis dari Bandar Salak Selatan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh kedua-dua mangsa serta tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Idzam berkata, dua laporan polis mengenai kehilangan dua mangsa diterima daripada keluarga masing-masing pada 23 dan 24 Mei lalu, masing-masing di Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, laporan polis dibuat selepas keluarga gagal menghubungi kedua-dua mangsa.

Menurut beliau, seorang mangsa adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam manakala seorang lagi bakal masuk ke sebuah maktab perguruan.

“Siasatan awal mendapati hubungan kedua-dua mangsa adalah rakan dan bukan penduduk di residensi terbabit.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.

Kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat dan pada masa ini laporan penuh bedah siasat belum konklusif.

Muhammad Idzam berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada Ketua Polis Balai Salak Selatan, Inspektor Muhd Arfizan Ab Aziz di talian 019-9198729 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051.

Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Sumber: Harian Metro, Berita Harian