15 Lokasi Hiking Di Johor
Aktiviti mendaki bukit atau gunung merupakan salah satu aktiviti yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Mungkin dahulu ianya dikatakan hanya melibatkan kaum lelaki, tetapi kini kaum wanita juga hebat dalam aktiviti ini.
Di Johor terdapat banyak gunung dan bukit namun tidak semua kawasan dibuka kepada umum untuk aktiviti mendaki. Kebanyakan gunung pula perlu mendapat permit dari Jabatan Perhutanan Negeri Johor sebelum memulakan pendakian berbanding bukit.
Daripada itu, ini kami kongsikan kepada anda 15 senarai lokasi hiking di Johor termasuk gunung dan bukit yang boleh anda rujuk untuk merancang aktiviti mendaki anda.
1 – Gunung Ledang
Gunung Ledang merupakan Gunung tertinggi di negeri Johor dengan berketinggian 1,279 meter bersamaaan 4186 kaki dari aras laut. Untuk ke puncak Gunung Ledang, terdapat 2 jalan denai yang selalu digunakan iaitu via Sagil dan via Asahan.
Gunung Ledang terkenal dengan kisah Sultan Melaka yang ingin meminang Puteri Gunung Ledang disebabkan kecantikannya. Namun 7 syarat yang dipinta sangatlah tidak munasabah untuk ditunaikan antaranya ialah jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang dan 7 dulang hati nyamuk.
2 – Gunung Pulai
Gunung Pulai terletak di daerah Kulai dan berketinggian 654 meter dari paras laut. Gunung Pulai sangat popular untuk warga Johor Bahru dan Singapure kerana lokasinya paling dekat dan pendakiannya tidak sukar. Terdapat 2 laluan untuk ke puncak iaitu melalui jalan tar dan jalan denai.
Ramai orang datang mendaki Gunung Pulai setiap minggu untuk berlatih dan beriadah kerana mudah diakses. Anda hanya perlu membayar kos parking di kawasan penduduk kampung di situ sahaja, malah terdapat kemudahan bilik mandi, tandas, dan kedai makan disediakan.
3 – Gunung Panti
Gunung Panti terletak di daerah Kota Tinggi, Johor mempunyai ketinggian setinggi 456 meter (1,498 kaki). Gunung Panti atau lebih tepat Panti barat merupakan gunung yang terdiri di dalam banjaran Panti bermula dari Batu Tenggek sehingga Panti Barat. Lokasi permulaan denai Gunung Panti hanya beberapa kilometer sebelum Resort Air Terjun Tinggi.
Kebiasaannya pendaki akan memerlukan lebih kurang 2.5 jam untuk mendaki manakala 2 jam untuk turun. Laluan trek Gunung Panti boleh dikatakan santai, tetapi pemukaan tanah yang lembab dan berbecak ketika hujan membuatkan posibiliti kehadiran pacat lebih tinggi.
4 – Gunung Lambak
Gunung Lambak antara Gunung yang menjadi tumpuan dikala hujung minggu bagi warga Johor. Walaupun hanyalah berketinggian 510 meter (1,673 kaki) dari aras laut, Gunung Lambak juga cukup popular di kalangan pendaki-pendaki daripada Singapura. Gunung Lambak ini mempunyai 2 puncak (twin peak) dan satu salah satu foto spot ialah pokok besar.
Gunung Lambak ini terletak 5 km dari Bandar Kluang dan sekiranya daripada Lebuhraya Utara Selatan, bolehlah susur keluar melalui Air Hitam/Batu Pahat dan terus menghala ke arah Bandar Kluang.
Selain mendaki, di bahagian kaki Gunung Lambak juga terdapat taman yang dilengkapi dengan kemudahan parkir, tandas, bilik mandi, swimming pool, taman permainan dan pelbagai lagi.
5 – Gunung Berlumut
Gunung Belumut mempunyai ketinggian 1010 meter dari aras laut dan terletak juga di daerah Kluang. Gunung Belumut merupakan gunung ke empat tertinggi di daerah berkenaan. Pendakian biasanya memerlukan hampir sepanjang hari iaitu dari pagi hingga ke petang bagi pendakian naik dan turun.
Puncak Gunung Belumut tidak terlalu luas namun tetap menjanjikan permandangan 360 darjah. Antara tarikan di gunung ini ialah permandangan hutan berlumut seakan mossy forest sebelum sampai ke puncak dan Batu Mahkota iaitu sebuah batu yang kelihatan seolah-olah satu mahkota raksasa di puncak.
6 – Gunung Gua Rimau
Gunung Gua Rimau merupakan jiran kepada Gunung Belumut kerana iaanya terletak di selatan Gunung Belumut. Untuk ke puncak Gunung Gua Rimau, pendaki perlu sampai ke Gunung Belumut dahulu. Ini bermakna sesiapa yang ke Gunung Gua Rimau akan melakukan trans dua gunung terus.
Sudah pasti apabila melakukan pendakian dua puncak ini anda perlu bermalam di puncak sebelum meneruskan perjalanan pada hari seterusnya. Hanya ada satu kawasan berbatu yang menjadi spot untuk bergambar kerana pemandangan yang sangat cantik di situ.
Dipercayai Gunung Gua Rimau mendapat nama dari cerita mengenai kewujudan sekumpulan harimau yang mendiami sebuah gua di lereng gunung itu menakutkan ramai pendaki.
7 – Gunung Chemendong
Gunung Chemendong mempunyai ketinggian 846 meter dari aras laut dan merupakan gunung yang terletak di daerah Kluang, Johor. Gunung ini juga berjiran dengan Gunung Belumut dan juga Gunung Gua Rimau.
Untuk ke puncak Gunung Chemendong, ianya memakan masa 4 hingga ke 6 jam naik dan 3 hingga ke 4 jam turun bergantung kepada kecergasan individu. Laluan denai Gunung Chemendong sedikit merbahaya kepada yang tidak ada pengalaman mendaki kerana ada beberapa cerun yang curam dan berlumpur untuk mendaki.
8 – Gunung Arong
Gunung Arong merupakan gunung ke-3 terendah di negeri Johor yang mempunyai ketinggian hanya 898 kaki dari aras laut. Gunung ini terletak di Tanjung Resang, Mersing iaitu 17 km dari bandar Mersing.
Gunung Arong terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Arong, iaitu hutan dipterokarpa tanah pamah. Disebabkan itu anda perlu mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan sebelum masuki dan mendaki Gunung Arong.
Apa yang menarik mendaki Gunung Arong ini ialah apabila di puncak anda dijanjikan permandangan yang cantik menghadap laut. Terdapat menara tinjau di sediakan di kawasan puncak untuk pengunjung. Dalam perjalanan turun terdapat juga beberapa checkpoint untuk anda bergambar.
Kebanyakan pendaki akan mendaki pada awal pagi sama ada sebelum subuh atau sejurus selepas subuh dengan harapan untuk melihat kejadian matahari terbit di menara tinjau terbabit. Selain itu, untuk mengelakkan daripada terperangkap di muara sunga akibat paras air laut naik jika anda turun melalui laluan pantai.
9 – Gunung Muntahak
Gunung ini terletak di Kota Tinggi, Johor dan mempunyai ketinggian setinggi 713 meter bersamaan 2,339 kaki dari aras laut. Gunung ini terletak dalam daerah Kota Tinggi, Johor.
Jika anda pernah pergi ke Air Terjun Kota Tinggi yang terkenal di daerah itu, air terjun sebenarnya berpunca dari gunung ini, di mana Sungai Pelepah Kanan yang membentuk air terjun tersebut mengalir turun dari Gunung Muntahak.
Jika anda mendaki ke Gunung Muntahak, anda akan berpeluang untuk singgah ke Air Terjun Sungai Tengkil di mana air terjun ini jatuh dari atas setinggi kira-kira 30 meter turun menegak melalui permukaan seakan dinding dengan kecuraman 90 darjah. Di bawahnya pula terdapat kolam semulajadi sesuai untuk mandi-manda.
10 – Gunung Tiong
Gunung Tiong merupakan gnung ketiga tertinggi di Johor dengan ketinggian 1,014 meter yang terletak berhampiran Taman Negara Endau-Rompin Selai (TNER Selai). Laluan pendakian adalah terus dari TNER Selai ke puncak gunung yang boleh dilakukan dalam masa dua hari satu malam dengan 10 Check Point (CP) yang perlu dilalui sebelum pendaki berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Tiong.
Gunung Tiong pernah menjadi tumpuan pendaki dari sekitar Labis dan daerah berhampiran selepas taman negara itu dibuka kepada umum. Namun mungkin disebabkan lokasinya yang jauh dan permandangan di puncak Gunung Tiong yang kurang menarik, pendaki kurang memilih untuk mendaki Gunung Tiong. Ini menyebabkan trek pendakian dari Kampung Selai Lama jarang dilalui dan semakin lama semakin semak serta tertutup.
11 – Bukit Sisek, Pelepah Kiri & Bukit Pasir
Bukit Sisek, Pelepah Kiri & Bukit Pasir terletak sangat hampir dengan Air Terjun Kota Tinggi yang popular. Namun untuk memasuki ke kawasan ini anda perlu mendapatkan permit kerana kawasan ini terletak di dalam hutan simpan.
Apa yang menarik di sini ialah pendakian menurun selalunya akan melalui sisi Air Terjun Sungai Pelepah Kiri. Namun ada juga sesetengah kumpulan mendaki yang hanya mendaki melalui laluan Air Terjun Sungai Pelepah Kiri sehingga ke Bukit Pasir.
Perlu diingat laluan di sepanjang air terjun merbahaya jika tidak berhati-hati kerana batuan air terjun yang berlumut dan basah pasti akan membuatkan keadaan licin boleh menyebabkan tergelincir. Gunakan tali untuk berpaut.
12 – Bukit Payong, Bukit Botak & Bukit Berdiri
Bukit Payong, Bukit Botak & Bukit Berdiri terletak di Parit Sulong dan terkenal di kalangan penduduk Batu Pahat. Dengan ketinggian 258m dari aras laut, laluan denainya adalah salah satu laluan yang sangat sesuai untuk anda yang baru bermula dengan aktiviti mendaki.
Pada permulaannya anda akan melalui laluan ladang kelapa sawit dan sampai ke checkpoint Bukit Payong sebelum meneruskan perjalan ke Bukit Berdiri dan Bukit Botak. Jarak antara Bukit Berdiri ke Bukit Botak mengambil masa lebih kurang 20 minit. Permandangan di Bukit Botak lebih berbaloi kerana lebih luas berbanding Bukit Berdiri.
13 – Bukit Soga
Terletak 5 km dari bandar Batu Pahat melalui Jalan Kluang-Batu Pahat dan 130 km dari Bandaraya Johor Bahru. Hutan Lipur Soga Perdana terletak di dalam Hutan Simpan Soga, iaitu jenis hutan dipterokarpa bukit.
Persekitaran hutan yang menarik dengan kepelbagaian flora dan fauna sesuia untuk berehat, bersiar-siar, mendaki dan berjoging. Laluan ke menara pandang memberi panorama hutan yang menghijau dan keindahan bandar Batu Pahat. Hutan lipur ini boleh dikunjungi dengan menggunakan kenderaan sendiri atau kenderaan awam seperti bas dan teksi.
14 – Gunung Banang
Terletak 5 km dari bandar Batu Pahat, Bukit Banang hanya berketinggian 432.38 meter dengan trek laluan sejauh 2.8km. Terdapat dua laluan untuk ke atas iaitu melalui jalan tar atau laluan denai di dalam hutan. Pada hujung minggu, kawasan ini menjadi pilihan orang untuk berjoging dan mendaki, selain mempunyai pemandangan indah menghadap Selat Melaka.
15 – Bukit Tiz
Bukit Tiz merupakan lokasi mendaki dan riadah yang semakin popular dikalangan warga Pasir Gudang khususnya. Ianya terletak di Seri Alam, Pasir Gudang. Untuk mendaki anda perlu berjalan dulu sejauh 1km sebelum sampai ke kaki Bukit Tiz. Walaupun hanya berketinggian 128m, ianya cukup untuk menguji ketahanan badan untuk anda yang baru nak mencuba aktiviti mendaki.
Sebenarnya banyak lagi gunung dan bukit di Johor untuk disenaraikan tetapi cukup sahaja buat masa ini. Jika anda ada cadangan bukit atau gunung untuk ditambah boleh komen diruangan komen ya.