10 Maut Dalam Kemalangan 3 kereta, Sebuah Treler

blank

Ibu dan 8 anak antara 10 mangsa meninggal dunia dalam kemalangan maut babitkan 3 kereta dan 1 treler di Lebuhraya Elite menghala Shah Alam malam tadi.

10 maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam pada Jumaat.

blank
Foto: BERNAMA TV

Mangsa maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam.

blank
Foto: BERNAMA TV

“Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta dengan bantuan enam anggota dari BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Norazam berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler.

“Seramai 17 mangsa terbabit dalam kemalangan ini membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler,” ujarnya.

Beliau memberitahu, seorang lelaki dewasa maut membabitkan sebuah Proton Wira, manakala sembilan maut terdiri daripada seorang perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan yang menaiki sebuah lagi Proton Wira.

blank
Foto: BERNAMA TV

“Seorang lelaki yang menaiki Perodua Axia patah kaki dan perempuan dewasa yang menaiki kenderaan sama cedera ringan sementara seorang pemandu treler dan dua kanak-kanak di dalam kenderaan itu terselamat,” katanya.

Jelas beliau, anggota bertugas bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan khas dan dibantu sebuah kren bagi mengangkat lori treler.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi keseluruhan tamat pada jam 2.40 pagi Sabtu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, BERNAMA, Utusan Online