Wanita Hamil 7 Bulan Ditembak Di Perut: 3 Anak Masih Terkejut, Asyik ‘Cari’ Ibu

Wanita hamil 7 bulan maut dengan kesan tembakan di perut.

Menerusi laporan dari akhbar tempatan, seorang wanita yang sedang hamil 7 bulan ditemui mati di dalam kereta dengan kesan tembakan di Kampung Teresek, Repek, Pasir Mas petang semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Farrah Emirah Mazlan, 26, ditemui dalam dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu kereta jenis Nissan Cefiro dengan kesan tembakan pada bahagian perut sebelah kiri.

Menurut sumber terkini, nenek mangsa, Zawiah, 68, berkata, cucunya berusia 26 tahun dan sudah bercerai itu keluar sekitar jam 8 malam kelmarin dan tidak pulang keesokan harinya menyebabkan dia sendiri cuba mencari dengan pergi ke rumah rakan mangsa.

“Dia (cucu) hanya memberitahu mahu keluar untuk mengurut, selain meminta saya supaya menjaga tiga anaknya kerana mengalami lenguh badan akibat mengandung.

“Malah, saya cuba menghubungi ibunya yang tinggal di Kampung Bechah Kelubi, Bukit Panau, namun diberitahu anaknya itu tidak pulang ke sana.

“Perkhabaran itu meresahkan saya sehinggalah ada saudara beritahu kereta milik cucu tersadai di tepi jalan. Saya segera ke lokasi dan terkejut melihat kehadiran polis dan orang ramai.

“Barulah saya tahu kejadian sebenar. Mengucap panjang melihat cucu kesayangan kaku di dalam kereta sudah tidak bernyawa lagi,” katanya tiga anak arwah berusia 3 hingga 10 tahun.

Zawiah berkata, ketiga-tiga anak mangsa masih berada dalam keadaan terkejut, malah anak paling bongsu asyik menangis ‘mencari’ ibunya itu kerana mereka sangat rapat.

“Dia (mangsa) seorang cucu yang sangat baik dan peramah, tidak suka keluar malam kecuali jika ada urusan penting saja.

“Selain itu, dia juga tidak pernah bercerita jika ada bermusuh atau sebagainya. Saya reda dengan apa yang terjadi dan perlu kuat demi untuk terus menjaga anak mangsa yang masih lagi trauma dengan kejadian ini.

Katanya, dia berharap pembunuh cucunya itu dapat segera ditahan dan dikenakan hukuman yang setimpal.

Sumber: Berita Harian

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: