Gantian Cuti Rehat (GCR): Kenaikan Kadar Maksimum & Pemberian Awal Award Wang Tunai
Gantian Cuti Rehat (GCR) ~ Sukacita dimaklumkan bahawa pelaksanaan penebusan awal award wang tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 90 hari dan pengumpulan GCR sehingga 180 daripada 160 hari telah diperincikan dalam pekeliling terkini 2023 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Teruskan membaca untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai Gantian Cuti Rehat (GCR).
BACA JUGA: Tarikh Gaji 2023 Untuk Penjawat Awam (Dikemaskini)
Gantian Cuti Rehat (GCR)
Untuk pengetahuan anda, GCR atau Gantian Cuti Rehat adalah merupakan satu kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada Penjawat Awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan perkhidmatan.
Gantian Cuti Rehat ini berbentuk ganjaran wang tunai yang diberikan. GCR akan dikumpulkan pada setiap hujung tahun bergantung dengan kelayakan cuti rehat yang diberikan pada tahun berkenaan.
GCR 2023 – Kenaikan Kadar Maksimum & Pemberian Awal Award Wang Tunai
Dalam pembentangan Bajet 2023 yang lalu, kerajaan telah pun bersetuju untuk:
- Memberi kenaikan kadar maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari.
- Pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 90 hari.
BACA JUGA: ePenyata Gaji : Semakan Penyata Gaji Online Penjawat Awam
Syarat Kelayakan
Pegawai awam yang telah memilih Skim Pencen mahupun Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhasrat untuk memohon pemberian awal award wang tunai GCR perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
(a) tempoh perkhidmatan pegawai tidak kurang daripada 15 tahun
(b) pegawai telah mencapai umur 45 tahun semasa permohonan dibuat
(c) jumlah terkumpul GCR sekurang-kurangnya 90 hari
(d) bebas daripada prosiding jenayah atau tindakan tatatertib
(e) mendapat perakuan daripada Ketua Jabatan.
NOTA:
Pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 90 hari hanya boleh dibuat SEKALI SAHAJA sepanjang perkhidmatan.
Soalan Lazim Mengenai Gantian Cuti Rehat (GCR)
1. Apakah award wang tunai GCR?
Award wang tunai GCR adalah wang tunai yang diberi kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan perkhidmatan apabila bersara kelak.
2. Apakah yang dimaksudkan pemberian awal award wang tunai GCR?
Pemberian awal award wang tunai GCR adalah inisiatif yang membenarkan seseorang pegawai menebus jumlah GCR yang telah dikumpulkan kepada wang tunai semasa dalam perkhidmatan, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
3. Bagaimanakah pengiraan pemberian awal award wang tunai GCR ini dilaksanakan?
1/30 x (gaji hakiki + *imbuhan tetap) x 90 hari
*Nota:
(a) Imbuhan Tetap Jawatan Utama
(b) Imbuhan Tetap Keraian
(c) Imbuhan Tetap Khidmat Awam
(d) Imbuhan Tetap Perumahan
4. Apakah syarat-syarat kelayakan pemberian awal award wang tunai GCR?
Syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum memohon pemberian awal award wang tunai 90 hari ialah:
(a) tempoh perkhidmatan yang boleh dimasuk kira hendaklah tidak kurang daripada 15 tahun, tertakluk kepada Peraturan 5, 6 dan 7, Peraturan-Peraturan Pencen 1980;
(b) telah mencapai umur 45 tahun, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2002: Dokumen Tarikh Lahir Pegawai Awam;
(c) jumlah cuti rehat yang terkumpul sebelum penebusan hendaklah sekurang-kurangnya 90 hari;
(d) bebas daripada sebarang prosiding jenayah atau tindakan tatatertib;
(e) mendapat perakuan daripada Ketua Jabatan; dan
(f) pemberian awal award wang tunai GCR hanya boleh dibuat SEKALI sahaja sepanjang perkhidmatan.
5. Adakah saya dibenarkan untuk membuat permohonan semula sekiranya permohonan terdahulu tidak diluluskan atau ditolak?
Ya. Sekiranya telah memenuhi syarat di atas.
6. Adakah saya dibenarkan untuk membuat permohonan baharu sekiranya permohonan GCR 80 hari telah diluluskan?
Tidak. Pemberian awal award wang tunai GCR hanya boleh dibuat SEKALI sahaja sepanjang perkhidmatan.
7. Adakah saya dibenarkan membuat permohonan pemberian awal award wang tunai lebih/ kurang daripada 90 hari?
Tidak. Jumlah pemberian awal award GCR ditetapkan sebanyak 90 hari sahaja.
8. Adakah saya akan dibayar jumlah GCR sebanyak 180 hari apabila bersara walaupun telah mendapat kelulusan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 90 hari?
Tidak. Pembayaran GCR apabila bersara kelak adalah berasaskan kepada baki jumlah cuti rehat yang telah dikumpulkan, terhad kepada jumlah keseluruhan 180 hari sepertimana yang dinyatakan dalam Ceraian PP.1.3.1: Pemberian Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR).
9. Bagaimanakah cara untuk memohon pemberian awal award wang tunai GCR?
Permohonan pemberian awal award wang tunai GCR perlu dibuat melalui Ketua Jabatan dan dikemukakan kepada Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Tatacara permohonan pemberian awal award wang tunai GCR dijelaskan melalui Ceraian PP.1.3.4:
Pemberian Awal Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat.
10. Adakah lebihan GCR masih boleh ditukar kepada cuti rehat pada tahun persaraan?
Ya. Tatacara permohonan kebenaran GCR digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan dijelaskan melalui Ceraian PP.1.3.3: Kebenaran Gantian Cuti Rehat Melebihi 180 Hari Digunakan Sebagai Cuti Rehat Pada Tahun Persaraan.
11. Adakah jabatan boleh mengenakan/ menetapkan syarat tambahan selain yang telah ditetapkan dalam PP.1.3.4?
Ya, tertakluk kepada pertimbangan Ketua Jabatan untuk mengenakan/ menetapkan syarat tambahan.
12. Adakah pegawai yang memilih Skim KWSP layak membuat penebusan awal award wang tunai GCR sekiranya syarat-syarat seperti yang ditetapkan telah dipenuhi?
Ya. Pegawai yang memilih Skim KWSP juga layak membuat penebusan awal award wang tunai GCR sekiranya syarat-syarat seperti yang ditetapkan telah dipenuhi.
NOTA:
Pengiraan GCR bagi pegawai yang memilih Skim KWSP bermula 1 November 2004. Tanggungjawab Ketua Jabatan
13. Apakah peranan dan tanggungjawab Ketua Jabatan dalam urusan pemberian awal award wang tunai GCR?
Ketua Jabatan hendaklah:
(a) memastikan pengumpulan GCR yang dibuat sepanjang tempoh perkhidmatan adalah betul dan teratur sepertimana dikehendaki oleh ceraian yang sedang berkuatkuasa;
(b) memastikan bukti pengumpulan GCR dicatat dan disahkan (tandatangan dan tarikh
pengesahan) dalam buku kenyataan cuti pegawai sepanjang tahun perkhidmatan;
(c) memastikan GCR yang dikumpulkan hendaklah sekurang-kurangnya 90 hari;
(d) merekodkan kelulusan penebusan awal award wang tunai GCR dalam Buku Perkhidmatan Kerajaan (BPK) pegawai seperti berikut:
“Pegawai telah diluluskan permohonan pemberian awal award wang tunai GCR pada……………………………[nyatakan tarikh kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia(JPA)] berjumlah RM ……………….”.;
(e) menggunakan aplikasi Sistem Pengiraan GCR yang boleh dimuat turun di portal www.jpapencen.gov.my untuk tujuan pengiraan GCR yang tepat di akhir perkhidmatan; dan
(f) mengemukakan permohonan pemberian awal bersekali dengan salinan BPK dan salinan Kenyataan Cuti yang disahkan kepada Bahagian Pencen, JPA.
14. Adakah kelulusan pemberian awal award wang tunai GCR oleh Bahagian Pencen, JPA akan terbatal sekiranya didapati pegawai tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan/ dikenakan prosiding jenayah atau tindakan tatatertib?
Ya. Pihak Kementerian/ Jabatan hendaklah memaklumkan kepada Bahagian Pencen, JPA sekiranya didapati pegawai tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan/ dikenakan prosiding jenayah atau tindakan tatatertib selepas mendapat kelulusan daripada Bahagian Pencen, JPA. Bahagian Pencen, JPA akan membatalkan kelulusan yang telah diberikan dan akan memaklumkan kepada Kementerian/Jabatan berkenaan pembatalan kelulusan tersebut.
15. Adakah pemberian awal award wang tunai GCR mendapat pengecualian cukai?
Tidak. Pemberian awal award wang tunai GCR yang diterima tertakluk kepada cukai pendapatan bagi pendapatan tahun semasa di bawah Akta Cukai Pendapatan yang sedang berkuat kuasa.
16. Adakah kemudahan pemberian awal award wang tunai GCR ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan?
Pelaksanaan pemberian awal award wang tunai GCR adalah tertakluk kepada penerimaan Ceraian PP.1.3.4 oleh Pihak Berkuasa masing-masing. Ketua Jabatan Pihak Berkuasa berkenaan yang menerima pakai Ceraian PP.1.3.4 hendaklah mempertimbangkan permohonan yang diterima dan membuat pembayaran pemberian awal award wang tunai GCR pegawai masing-masing.
17. Siapakah yang akan melaksanakan kelulusan dan pembayaran awal award wang tunai GCR bagi pegawai lantikan Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan?
Bagi pegawai lantikan Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, kelulusan dan pembayaran awal award wang tunai ini akan dilaksanakan oleh Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.
18. Siapakah yang akan melaksanakan kelulusan dan pembayaran awal award wang tunai GCR bagi pegawai lantikan Persekutuan yang ditempatkan ke Jabatan/ Agensi Negeri?
Bagi pegawai lantikan Persekutuan yang ditempatkan ke Jabatan/ Agensi Negeri, kelulusan akan diuruskan oleh Bahagian Pencen, JPA manakala pembayaran akan diuruskan oleh Jabatan/ Agensi Negeri dengan menggunakan peruntukan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.
Anda boleh muat turun soalan lazim versi PDF di sini:
https://docs.jpa.gov.my/docs/se/2023/faq_se12052023.pdf
Maklumat Lanjut & Pertanyaan
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai GCR, sila rujuk/layari:
- Email: [email protected]
- Telefon: 03-8885 4686 / 4428 / 4431 / 4670 / 4427 / 4729
- Portal Rasmi JPA: