Timbulkan Kegelisahan, TV Alhijrah Tangguh Rancangan Kak Long 7e

Media sosial hari ini dipenuhi dengan komen orang ramai susulan Program Trending di sebuah stesen televisyen tempatan yang menampilkan ‘Kak Long 7e’.

Tindakan menjemput wanita yang ‘memarahi’ staf 7-Eleven gara-gara tidak berpuas hati kerana anaknya dituduh mencuri.

Video tersebut menjadi tular selepas wanita berkenaan membuat siaran langsung (live) di akaun TikTok miliknya semasa kejadian berlaku pada malam Rabu (2 Mac).

Susulan peristiwa itu, sebuah video lama di KFC juga turut ‘dibongkar’ oleh netizen.

Dalam kedua-dua video berkenaan, cara percakapannya menjadi kecaman netizen kerana mengeluarkan perkataan yang kasar dan tidak sopan.

Sebelum ini tindakan Pencetus Ummah (PU) Amin berkongsi foto kehadiran Kak Long 7E di studio bagi rakaman program itu di Facebook mendapat kritikan dan komen negatif netizen.

Berikutan komen agresif netizen, TV AlHijrah akan menangguhkan penyiaran program Trending yang menampilkan ‘Kak Long 7E’.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, tindakan itu selepas mengambil kira kegelisahan yang tercetus.

TV AlHijrah dalam pada itu menjelaskan kehadiran ‘Kak Long 7E’ sebagai tetamu program tersebut bagi membincangkan isu tanggungjawab pengguna media sosial.

“Program Trending merupakan sebuah program perkongsian yang membincangkan isu-isu terkini yang tular di media sosial.

“Kehadiran ‘Kak Long 7E’ di studio juga disertai oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki sebagai panelis yang mengambil peranan memberi tausiyah, teguran serta pengajaran kepada ‘Kak Long 7E’ agar lebih peka dan bertanggungjawab sebelum berkongsi apa sahaja isu di mana-mana platform khususnya di media sosial,” jelas kenyataan tersebut.

– Kenyataan Media TV AlHijrah

Rata-rata orang ramai amat bersetuju, bahkan menyarankan agar program tersebut dibatalkan terus kerana dianggap ‘mengangkat populariti’ orang yang tidak sepatutnya.

Selain itu, tidak kurang juga yang berasa terkilan kerana terdapat pelbagai lagi isu ilmiah yang boleh dipertontonkan terutamanya menjelang bulan Ramadan ini.

Orang ramai juga mengecam tindakan pihak stesen TVAlhijrah kerana tidak peka dan sensitif terhadap isu ini.

Sementara itu TV AlHijrah mengucapkan terima kasih atas maklum balas serta teguran penonton dan akan berusaha untuk meningkatkan mutu kandungan agar lebih memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Sumber : AlHijrah Online

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: