Surah Yaasin – Keistimewaan & Kelebihan Mengamalkannya
Surah Yaasin – Keistimewaan & Kelebihan Mengamalkannya | Surah Yaasin adalah merupakan surah yang ke 36 di dalam Al-Quran. Terdapat banyak kelebihan mengamalkan Surah Yaasin dalam kehidupan seharian selain mendapat pahala yang banyak seperti membaca surah-surah lain di dalam Al-Quran.
Ini adalah berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْف
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi, no. hadith 2835]
Nak tahu apa kelebihan dan keistimewaan surah ini dengan lebih lanjut, jom baca perkongsian di bawah.
BACA JUGA: Niat & Cara Solat Jamak Qasar
Surah Yaasin
Surah Yaasin terdiri daripada 83 ayat dan termasuk golongan surah Makkiyah. Surah ini dinamakan Surah Yaasin kerana ianya dimulai dengan huruf Ya-sin.
Menurut sebuah hadis, Surah Yasin dinamakan Mub’mah (pemberi berita baik) di dalam kitab Taurat kerana ia mengandungi manfaat kepada pembacanya dalam kehidupan dunia juga akhirat.
Selain itu, ia juga dikenali sebagai ‘Rafi’ah Khafidah’, iaitu yang mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan menurunkan darjat orang-orang yang ingkar (tidak beriman).
>> Buku Yasin murah untuk majlis-majlis tahlil beli di sini
Keistimewaan & Kelebihan Mengamalkan Surah Yaasin
1. Diampunkan Dosa
Daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ غُفِرَ لَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya”.
[Riwayat Ibn Hibban, no. hadith 2574]
2.Menghindarkan hati yang keras
Daripada Abi Ja’far Muhammad bin Ali berkata:
Barangsiapa yang mendapati hatinya keras, maka tulislah ayat يس وَالقُرْءَانِ di dalam bekas perak yang dicampur dengan Za’faran, kemudian minumlah airnya.
3. Mendapat kebaikan dunia akhirat
Dikeluarkan oleh Ibnu al-Durais, Ibnu Mardawaih, al-Khatib dan al-Baihaqi daripada Abu Bakar al-Siddiq berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
Surah Yasin dipanggil di dalam Taurat sebagai al-Mua’mminah.
Yakni menjadikan orang yang membacanya mendapat kebaikan dunia dan akhirat secara menyeluruh, mendatangkan kesabaran pada ujian dunia dan akhirat dan membenteng dari kesengsaraan akhirat.
Ia juga dipanggil penghadang dan penuaian, iaitu menghalang dari kejahatan dan menunaikan setiap hajat bagi orang yang membacanya.
Barangsiapa yang membacanya diberikan ganjaran 20 kali melakukan haji dan siapa yang mendengarnya diganjarkan seribu Dinar dijalan Allah.
Dan barangsiapa yang menulis kemudian meminumnya, dimasukkan ke dalam rongga tenggoroknya sebanyak seribu ubat, seribu nur, seribu keyakinan, seribu keberkatan, seribu rahmat dan menghilangkan segala keterlampauan dan keracunan.
4. Dipermudahkan segala urusan
Imam ad-Darimi daripada Ibnu Abbas berkata:
Barangsiapa yang membaca surah Yasin ketika Subuh, diberikan kemudahan pada siang harinya hingga ke petang. Dan barangsiapa yang membacanya pada awal malam, diberikan kemudahan pada malamnya hingga ke waktu subuh.
5. Memberi kebaikan kepada si mati
Daripada Ma’qal bin Yasar berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Bacalah ia pada orang yang mati di kalangan kamu – yakni surah Yasin.
Imam Ahmad rahimallah berkata, kami diceritakan oleh Abu al-Mughirah, Safwan menceritakan kepada kami, berkata yang maksudnya:
Para masyaikh pernah berkata: “Jika dibacakan – yakni surah Yasin – di sisi orang yang mati, ia dapat meringankannya.