Rondaan Aidilfitri: Polis Akan Serbu Rumah Banyak Kasut & Selipar
Bagi mengesan individu yang tidak mematuhi larangan rentas negeri pada sambutan Aidilfitri nanti, Polis Kedah akan memeriksa rumah yang didapati mempunyai jumlah kasut dan selipar yang banyak.
Memetik laporan Portal Utusan Malaysia, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya mengerah anggotanya melakukan rondaan sepanjang sambutan perayaan itu di seluruh negeri Kedah.
“Polis Kedah mendapat arahan untuk melakukan rondaan, kita tengok rumah yang ada banyak kereta, kita akan semak.
“Bukan sekadar kereta, kita tengok selipar, kasut di rumah itu banyak, juga kita akan periksa,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Baharu 4WD (1tan) GS-Cargo Guna Sama Operasi untuk Kontinjen Kedah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, semalam.
Rondaan Aidilfitri Memastikan SOP Tetap Dipatuhi Dalam Musim Perayaan
Sebelum ini dimaklumkan bahawa Polis akan membuat pemeriksaan mengejut ke rumah yang ‘banyak kereta‘, seperti yang diumumkan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar.
Ia adalah bagi memastikan surat kebenaran surat rentas negeri tidak disalahguna.
Tahun ni adalah kedua kalinya sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini di bawah perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Susulan kes baharu positif Covid-19 yang kembali meningkat di negara kita, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperketatkan syarat permohonan bagi merentas negeri yang mana hanya meluluskannya pada Isnin hingga Khamis sahaja dengan 6 alasan yang dipertimbangkan.
Alasan itu melibatkan membabitkan tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian ahli keluarga terdekat, perubatan, pendidikan serta menemui pasangan jarak jauh.
Manakala permohonan untuk pergerakan pada hujung minggu tidak akan diluluskan selain hal kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.