Cara Solat Sunat Khusuf (Gerhana Bulan)

FENOMENA GERHANA BULAN PENUH & CARA SOLAT SUNAT KHUSUF

Gerhana Bulan Penuh 8 November 2022 – Alamanak Astronomi November 2022

Pada bulan November ini orang ramai berpeluang menyaksikan satu fenomena astronomi yang menarik iaitu Gerhana Bulan Penuh pada 8 November 2022.

Fenomena gerhana bulan ini berlaku ketika Bulan purnama. Ketika itu Bulan akan berada bersetentang dengan planet Bumi dan terlindung daripada Matahari. Oleh itu bulatan Bulan masuk ke dalam bayang-bayang umbra Bumi. Bulan akan kelihatan berwarna merah pekat.

Fenomena Gerhana Bulan adalah salah satu bukti Kekuasaan dan Kebesaran Allah SWT. Kejadian alam semesta adalah tanda Kebesaran Allah SWT yang nyata serta meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Setiap pergerakan dan peredaran yang berlaku di alam semesta ini telah ditentukan oleh Allah SWT dan beredar pada tempat peredaran yang ditetapkan.

Fenomena ini berlaku apabila bumi berada di tengah-tengah antara matahari dan bulan yang menyebabkan cahaya matahari terlindung oleh bumi dan tidak dapat sampai sepenuhnya ke bulan ketika bulan penuh.

Masyarakat di Malaysia boleh menyaksikan fenomena ini dengan mata kasar, dengan jelas selepas matahari terbenam.

Berikut adalah fasa-fasa gerhana yang dihitung di Kuala Lumpur, Malaysia mengikut Waktu Piawai Malaysia (WPM);

TARIKH

8 November 2022

WAKTU

Penumbra Bermula : 16:03
Umbra Bermula : 17:10
Gerhana Penuh Bermula : 18:17
Gerhana Penuh Maksimum : 18:59
Gerhana Penuh Berakhir : 19:41
Umbra Berakhir : 20:49
Penumbra Berakhir : 21:55

Sumber Data : Almanak Falak Syarie Malaysia 2022, JUPEM

Disediakan oleh : Bahagian Ukur Geodetik, JUPEM

solat gerhana bulan 8 november 2022

Seluruh umat Islam disyariat untuk mendirikan solat sunat gerhana bulan (solat sunat Khusuf) selepas solat fardhu maghrib.

Peringatan Nabi Ketika Berlaku Gerhana

1. MEMPERBANYAKKAN MENGINGATI ALLAH

Dalam hadis Aisyah r.a. disebutkan:

فَإِذَا رَأَيْتُمْ كُسُوْفًا فَاذْكُرُوْا اللهُ حَتَّى يَنْجَلِيَا

Maksudnya: “Apabila kamu melihat gerhana, ingatlah kepada Allah sehingga kedua-duanya kembali tenang.”

(HR Muslim, hadis sahih)

2. MENDIRIKAN SOLAT SUNAT GERHANA

Daripada Aisyah r.a., Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَافْزَعُوا لِلصَّلَاةِ وَقَالَ أَيْضًا فَصَلُّوا حَتَّى يُفَرِّجَ اللهُ عَنْكُمْ

Maksudnya: “Bahawasanya matahari dan bulan itu dua tanda daripada segala tanda-tanda yang menunjukkan keesaan dan kekuasaan Allah Taala, tiada gerhana keduanya kerana mati seseorang atau hidupnya, maka apabila kamu lihat akan demikian itu, maka hendaklah kamu sembahyang”, dan Baginda bersabda: “Maka sembahyanglah kamu hingga disingkap kembali oleh Allah kepada kamu semua (bulan dan matahari).”

(HR al-Bukhari dan Muslim, hadis sahih. Hadis dengan lafaz Muslim.)

Hukum Solat Sunat Gerhana

Di dalam mazhab Syafie, mendirikan solat sunat gerhana adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut untuk melakukannya.

Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَمِنْ أَيٰتِهِ الَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُۗ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلّٰهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Dan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan jangan (pula) kepada bulan, tetapi bersujudlah kepada Allah yang menciptakannya, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.”

(Surah Fussilat: 37)

Waktu Solat Gerhana

Solat gerhana bulan boleh dilakukan bermula apabila ternyata berlakunya gerhana bulan dan tamat dengan berakhirnya gerhana serta naiknya matahari.

TIDAK HARUS MELAKUKAN SOLAT SUNAT GERHANA KETIKA:

1. Bulan menjadi terang kembali kerana cahaya matahari tidak lagi dihalang oleh bumi.

2. Apabila terbit matahari hingga bulan tidak lagi kelihatan walaupun gerhana bulan berlaku ketika itu. Namun, jika matahari terbit tetapi bulan yang sedang gerhana masih kelihatan, maka solat sunat gerhana masih boleh dilakukan.

Panduan Solat Sunat Khusuf (Gerhana Bulan)

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah! ( Solat berjemaah ).

Juga disaran dilaksanakan secara sendirian.

Berikut dikongsikan cara-caranya.

NIAT SOLAT SUNAT GERHANA BULAN (KHUSUF)

Usolli sunnatal khusufi rak’ataini (ada’an / imaman) lillahi taala

“Sahaja aku solat sunat khusuf dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam)

ataupun
“Sahaja aku solat sunat khusuf dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah.

LANGKAH-LANGKAH

Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud.

Iaitu seperti berikut :

RAKAAT PERTAMA

  1. Niat solat Gerhana, Takbir
  2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
  3. Rukuk
  4. I’tidal
  5. Baca Al-Fatihah dan surah
  6. Rukuk.
  7. I’tidal.
  8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

RAKAAT KEDUA

  1. Takbir rakaat ke-2.
  2. Baca Al-Fatihah dan surah.
  3. Rukuk.
  4. I’tidal,
  5. Baca Al-Fatihah dan surah.
  6. Rukuk.
  7. I’tidal.
  8. Sujud
  9. Tahiyyat Akhir

NOTA:

*Sunat dibaca nyaring pada bacaan fatihah dan surah semasa sembahyang gerhana bulan, tidak disunatkan baca secara nyaring pada sembahyang gerhana matahari.

*Setelah selesai sembahyang disunatkan membaca khutbah seperti dua khutbah hari raya, tetapi tidak disunatkan takbir pada dua khutbah itu.

Solat sunat gerhana bulan

Jangan lepaskan peluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh ini dan sama-sama kita menzahirkan kesyukuran serta keinsafan melalui amalan-amalan yang baik, contohnya dengan melakukan solat sunat, bersedekah, bertakbir dan mengingati kebesaran serta takut azab Allah.

Semoga bermanfaat.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: