Influencer Panik, Hilang Ribuan ‘Followers’ Di Facebook
Pagi ini ramai influencer dan content creator yang aktif di Facebook telah melaporkan penurunan mendadak pada jumlah followers mereka.
Perkara ini menjadi tanda tanya kerana halaman Page Rasmi Mark Zuckerberg juga nampaknya tidak dapat diakses di Facebook buat masa ini.
Sebelum itu, page Mark Zuckerberg juga mencatatkan hanya 9000+ followers, seterusnya menguatkan lagi andaian bahawa Facebook sedang mengalami ‘technical glitch’.
Difahamkan 5 jam yang lalu Mark telah memuat naik gambar profil baru dengan memakai VR headset terbaru keluaran Meta iaitu Meta Quest Pro.
Video promosi Meta Quest Pro ini juga baru dinaikkan di YouTube pada 4 jam yang lalu.
Perkara ini juga berlaku kepada semua pengguna Facebook, tidak terhad kepada mereka yang berada di Malaysia sahaja.
Sementara itu, saluran media terbesar Amerika turut mencatatkan penurunan mendadak jumlah pengikut Facebook mereka pada hari 3 dan 4 Oktober lalu, mencetuskan spekulasi bahawa gergasi media sosial itu mungkin telah ‘membersihkan’ akaun bot.
Newsweek melaporkan bahawa saluran media seperti New York Times, Washington Post, Huffington Post, The Hill, USA Today, New York Post dan Newsweek kehilangan 38,812 follower pada hari Isnin dan 29,692 pada Selasa.
Antara April dan Jun 2022, Facebook telah mengambil tindakan terhadap 1.4 bilion akaun bot yang disyaki, menurut Laporan Penguatkuasaan Piawaian Komunitinya. Dalam tiga bulan sebelumnya, 1.6 bilion “akaun palsu” telah ditamatkan.
Facebook berkata di halaman Transparency Center : “Matlamat kami adalah untuk mengalih keluar seberapa banyak akaun palsu di Facebook yang kami boleh. Ini termasuk akaun yang dibuat dengan niat jahat untuk melanggar dasar dan profil peribadi kami yang dibuat untuk mewakili perniagaan, organisasi atau entiti bukan manusia , seperti haiwan peliharaan.”
“Kami mengutamakan penguatkuasaan terhadap akaun palsu yang ingin menyebabkan kemudaratan. Kebanyakan akaun ini digunakan dalam kempen spam dan bermotifkan kewangan.”
Setakat ini, masih belum ada sebarang penjelasan dari pihak Meta atau Facebook berhubung isu berkenaan.
Adakah anda turut mengalami ‘glitch’ ini?