Ejen Kosmetik Mangsa Culik Berjaya Diselamatkan PDRM
PETALING JAYA: Ejen jualan produk kosmetik wanita Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.
Lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata melalui kerjasama erat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan di Thailand.
“Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini.
“Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumber: Buletin TV3, PDRM (Polis Diraja Malaysia)
TAHNIAH PDRM menyelamatkan mangsa culik seorang ejen jualan produk kosmetik yang selamat dibawa pulang ke Malaysia dari Thailand pada hari ini.
Pada 13 September lalu, ejen kosmetik itu diculik dari rumahnya di Kampung Semat Jai, Tumpat pada kira-kira 5.10 petang.
KRONOLOGI HARI KEJADIAN
EJEN PRODUK KOSMETIK DILARIKAN LEBIH TIGA ORANG LELAKI DI TUMPAT, KELANTAN.
TUMPAT l Rabu 14 September 2022 – Wanita yang juga ejen jualan kosmetik dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini, petang semalam.
Mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilarikan tiga lelaki tidak dikenali pada 4.10 petang dengan menaiki Toyota Vios.
Menurut warisnya yang enggan dikenali, tiga lelaki itu datang ke rumah mangsa sebelum seorang daripada mereka mengetuk pintu dan memberi salam lalu dibuka oleh mangsa.
“Lelaki itu bertanya adakah mangsa bernama Azi dan dia mengiyakannya sebelum terus mengheretnya keluar untuk dimasukkan dalam kereta.
“Tiga lelaki itu turut menunjukkan pistol masing-masing kepada bapa dan anak perempuan mangsa yang berada dalam rumah selain mengugut akan mengapa-apakan mereka jika membuat sebarang tindakan.
“Bapa mangsa yang melihat Azi diheret masuk ke dalam kereta cuba untuk menyelamatkannya, namun seorang daripada lelaki itu mengacukan sebilah pisau rambo menyebabkan warga emas itu berundur dan hanya melihat mangsa dilarikan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat bahawa Azi dibawa ke arah Pengkalan Kubor iaitu kawasan sempadan negara menyebabkan suami mangsa bergegas ke lokasi, namun mangsa gagal ditemukan.
Katanya, terdapat saksi yang juga penduduk setempat mendakwa melihat seorang wanita dibawa sekumpulan lelaki menaiki bot menuju ke negara jiran, manakala Toyota Vios yang dinaiki turut ditemukan di sebuah pangkalan haram di situ.
“Suami mangsa juga turut menjejakinya hingga ke negara jiran dan masih belum pulang sehingga ke hari ini.
“Apa yang kami tahu Azi tidak mempunyai musuh dan sehingga kini kami tidak menerima panggilan yang meminta wang tebusan… tapi tidak pastilah jika ada yang tidak berpuas hati dengannya sepanjang dia menjalankan perniagaan kosmetik.
“Ibu bapanya masih terkejut dan bersedih dengan kejadian ini dan pada masa sama kami turut membuat solat hajat selain berdoa agar Azi segera ditemukan dengan selamat,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman mangsa yang berdurasi dua minit 51 saat memaparkan kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dibuat dan turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.