9 Tips Pilih Durian Banyak Isi, Sedap & Tak Keras. Baru Berbaloi!
TIPS PILIH DURIAN BANYAK ISI & SEDAP! Musim durian tiba lagi. Siapa sahaja yang tidak menggemari raja buah Asia ini.
Setiap kali tiba musim durian, pasti ramai yang akan beratur untuk membelinya.
Selain dimakan begitu sahaja, durian juga sering dijadikan manisan tradisional seperti serawa.
Kini, ramai yang menginovasikan resepi durian menjadi makanan lain seperti kek durian dan durian crepe. Alahai, terliur penulis bila menaip artikel ni!
Sebenarnya ada beberapa tips memilih durian yang elok dan manis dan pastinya berbaloi buat kita.
Untuk mengelakkan ditipu ketika membeli durian, eloklah baca sedikit tips memilih durian ini.
9 Tips Pilih Durian Banyak Isi & Sedap
1. Lihat tangkainya terlebih dahulu
Durian yang jatuh dari pokok biasanya mempunyai tangkai yang bergerigi. Jika kelihatan rata atau seperti dipotong, ada kemungkinan durian itu dipetik sebelum masak dan disimpan terlebih dahulu.
Selain itu, cungkil sedikit kulit tangkainya dengan kuku.
Jika kulitnya tebal, maka isi buahnya juga akan tebal dan jika bahagian dalam kulitnya berwarna kuning, maka warna isi buahnya pun akan kuning juga.
Ada juga kes yang durian dicelup dalam pewarna kuning dan tangkainya juga akan berwarna kuning. Jadi anda hati-hati tau.
Baca juga: Resepi Cempedak Goreng Rangup. Ini Rahsianya Kerangupannya!
2. Perhatikan durinya
Ada satu lagi petua untuk tahu sama ada isi durian bagus ataupun tidak.
Jika kulit durian kelihatan berduri jarang dan besar-besar, durian itu berisi padat, tetapi jika durian berkulit kecil dan durinya berjarak dekat maka isi durian pasti lembik. Take note ya!
3. Pilih buah durian yang ringan
Durian yang berat biasanya masih mentah, isinya terlalu berair dan yang paling membimbangkan durian tersebut telah menjadi busuk.
Jadi pastikan anda periksa terlebih dahulu.
4. Kulit Sempurna, Tak Pecah
Elakkan daripada memilih buah yang kulitnya sudah retak atau pecah pada bahagian hujungnya.
Retak atau pecah pada bahagian kulit durian akan membuat isi di dalamnya bercampur dengan udara bebas yang mengakibatkan rasa buah menjadi masam atau tawar.
5. Pukul atau ketuk durian terlebih dahulu
Jika kedengaran “bluk-bluk” bergema dari kulit durian, itu tandanya durian sudah matang dan apabila terdengar bunyi “plek-plek” pula tandanya durian belum matang.
Cubalah, durian pun ada bunyi tau!
6. Goncangkan durian
Untuk memilih isi durian yang berkualiti, goncangkan buah durian dan anda akan rasakan gertaran kecil dari dalam buah.
Letakkan kedua telapak tangan pada buah durian, diikuti dengan jari-jari tangan dan dipegang agak erat dan goncang secara perlahan-lahan.
Jika dapat merasakan getaran kecil ini bermakna isi buah kering dan matang kerana isi yang kering akan terpisah dari dinding kulit.
Namun untuk isi yang lembab pula akan melekat di dinding kulit durian tersebut. Tidaklah isinya lembik atau seperti sudah lama.
7. Pilih durian yang mempunyai 5 pangsa
Buah durian mempunyai pangsa (bilik-bilik) yang diisi biji dan isi buah. Pangsa durian boleh dilihat dari permukaan kulitnya.
Ianya merupakan garis dari bahagian atas sehingga bahagian bawah.
Durian yang ideal mempunyai lima pangsa kerana isi buah biasanya lebih banyak berbanding durian yang mempunyai 6 pangsa atau lebih.
8. Ambil yang bulat
Bentuk bulat menandakan isi buahnya besar dan banyak. Durian bujur atau tidak bulat biasanya hanya memliki isi buah yang sedikit. Tetapi, buah yang lonjong selalunya lebih manis dan sedap berbanding buah yang bulat.
9. Cium baunya terlebih dahulu
Ketika memilih durian, dekatkan hidung dan cium baunya, jika ia berbau kuat, kemungkinan besar buahnya manis dan matang.
Tapi jika sudah tidak bau lagi, kemungkinan buahnya sudah masuk angin yang membuat rasanya jadi hambar.
Selamat Mencuba!
Semoga dengan tips pilih durian yang dikongsikan ini, kita tidak tersalah pilih durian yang mangkak atau yang tidak manis. Apapun, baca Bismillah ketika memilih durian.
Anda boleh tentukan sendiri sama ada durian yang anda pilih berkualiti ataupun tidak.
Gunakan cara-cara yang kami sertakan di atas ini ya. Selamat mencuba!
Baca juga: Resepi Pulut Kuning. Kekal Lembut Walaupun Sejuk!