Tanda Sakit Buah Pinggang, Jangan Ambil Remeh!
Tanda Sakit Buah Pinggang, Jangan Ambil Remeh! | Penyakit buah pinggang bukanlah satu penyakit yang asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Penyakit ini biasanya tidak disedari pada peringkat awal sehinggalah ia menjadi serius.
Mengetahui simptom awal sakit buah pinggang boleh membantu orang ramai mengesannya dengan lebih awal untuk mendapatkan rawatan.
Berikut dikongsikan info mengenai tanda awal penyakit buah pinggang yang tidak boleh dipandang remeh.
BACA JUGA: Doktor Kongsi 5 Cara Berkesan Kurangkan Sakit Tekak Di Rumah
Apa Itu Sakit Buah Pinggang?
Penyakit buah pinggang berlaku apabila buah pinggang tidak lagi dapat membersihkan toksin dan bahan buangan daripada darah dan melaksanakan fungsinya dengan kapasiti penuh. Masalah buah pinggang ini boleh berlaku secara kemerosotan progresif atau berterusan dari semasa ke semasa.
Antara jenis penyakit buah pinggang yang sering berlaku adalah seperti berikut:
- Penyakit buah pinggang kronik/chronic kidney disease (CKD)
- Kecederaan buah pinggang acute
Tanda Sakit Buah Pinggang
Ramai yang beranggapan bahawa mereka cukup sihat sehingga mengabaikan simptom-simptom awal yang ditunjukkan.
Tambahan lagi, simptom penyakit ini tidak mudah dikesan pada peringkat awal kerana ia berbeza-beza bagi setiap individu. Selalunya simptom-simptom akan menjadi ketara apabila fungsi buah pinggang terjejas dengan serius.
Antara gejala penyakit buah pinggang termasuklah:
- Perubahan dalam membuang air kecil; Jumlah air kecil lebih besar atau lebih kecil daripada biasa, merasa tekanan semasa membuang air kecil, perubahan warna air kecil, air kecil berbuih atau terpaksa bangun malam untuk membuang air kecil dengan kerap.
- Bengkak kaki, buku lali, tangan atau muka; Cecair yang tidak dapat dikeluarkan oleh buah pinggang berkemungkinan terkumpul di dalam tisu badan.
- Sering keletihan atau berasa lemah; Ini berlaku kerana pengumpulan toksin atau kekurangan sel darah merah (anemia) apabila buah pinggang mula gagal untuk berfungsi.
- Sesak nafas; Kegagalan buah pinggang kadangkala dikelirukan dengan asma atau kegagalan jantung kerana cecair boleh terkumpul di dalam paru-paru.
- Rasa logam di dalam mulut; Pengumpulan sisa dalam badan boleh menyebabkan nafas berbau, perubahan rasa atau rasa tidak suka terhadap makanan kaya protein seperti daging.
- Sakit belakang atau sisi; Rasa sakit buah pinggang yang terletak di kedua-dua belah tulang belakang, di bahagian belakangnya.
- Gatal-gatal di pada anggota badan; Pembentukan sisa dalam badan boleh menyebabkan kegatalan yang teruk, terutamanya pada kaki.
- Hilang selera makan.
- Loya dan muntah.
BACA JUGA: Petua Kurangkan Sakit Tapak Kaki & Kebas Kaki
Tahap Penyakit Buah Pinggang Kronik
Terdapat lima peringkat atau tahap sakit buah pinggang kronik berdasarkan fungsi buah pinggang anda atau bacaan GFR.
Kadar Penurasan Glomerular atau glomerular filtration rate (GFR), memberikan anggaran fungsi buah pinggang. Contohnya, jika GFR anda adalah 26, ini bermakna buah pinggang anda berfungsi pada kira-kira 26 peratus daripada kadar normal.
NOTA: Peringkat 1 adalah yang paling hampir dengan fungsi buah pinggang yang sihat, dan Penyakit Buah Pinggang Kronik Peringkat 5 atau dikenali sebagai kegagalan buah pinggang memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang.
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 1, GFR > 90
- Kerosakan buah pinggang yang kecil.
- Buah pinggang berfungsi sama seperti buah pinggang biasa.
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 2, GFR 89-60
- Kerosakan buah pinggang dengan kehilangan fungsi buah pinggang yang ringan.
- Sedikit atau tiada simptom.
- Dapat diurus melalui diet yang sihat dan regulasi tekanan darah.
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 3A, GFR 59-45
- Kerosakan buah pinggang ringan hingga sederhana.
- Buah pinggang tidak berfungsi dengan baik sebagaimana sepatutnya.
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 3B, GFR 44-30
- Mungkin mengalami keletihan, perubahan membuang air kecil, masalah tidur dan rasa sakit di buah pinggang.
- Dapatkan nasihat doktor anda tentang diet mesra buah pinggang, pengurusan tekanan darah tinggi dan preskripsi ubat yang mungkin membantu meredakan sakit dan gejala anda.
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 4, GFR 29-15
- Mungkin mengalami tekanan darah tinggi, anemia, penyakit tulang atau penyakit kardiovaskular.
- Gejala termasuk keletihan, loya, perubahan rasa, masalah saraf, sukar tidur serta kurang selera makan dan tenaga.
- Dapatkan nasihat doktor mengenai sebab penyakit buah pinggang menjadi semakin teruk, cara untuk menjaga, dan bertanya tentang pemindahan buah pinggang.
- Pakar diet juga boleh membantu menguruskan diet anda.
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 5, GFR < 15
- Gejala termasuk kehilangan selera makan, loya, gatal-gatal, bengkak serta perubahan air kecil menjadi sedikit atau tiada.
- Pilihan rawatan termasuk dialisis atau pemindahan buah pinggang.
Bagaimana Cara Mengetahui Jika Saya Menghidap Penyakit Buah Pinggang?
Sekiranya anda merasakan simptom-simptom yang dinyatakan di atas, sebaiknya anda terus pergi ke hospital atau klinik berhampiran untuk mengambil beberapa ujian darah serta air kencing dan melakukan pemeriksaan lanjut.
Tahap kreatinin dan urea yang tinggi dalam darah atau tahap protein yang tinggi dalam air kencing anda merupakan tanda-tanda anda menghidapi sakit buah pinggang.
Sila dapatkan nasihat daripada Pakar nefrologi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini.
Jangan lupa juga lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di mana-mana pusat kesihatan/klinik/hospital berhampiran anda untuk mengetahui tahap kesihatan anda.
Sumber: http://www.myhealth.gov.my/kegagalan-buah-pinggang-dan-kesan-terhadap-kehidupan-sosial-pesakit/
.