Sempatkan Dhuha Agar Hajat Kita Bisa Dipenuhi Dengan Izin Allah SWT

Dhuha adalah waktu yang tercatat di dalam al-Quran.

Istimewanya waktu ini sehinggakan Allah bersumpah dengannya di dalam surah Ad-Dhuha: “Demi waktu Dhuha”.

Pernahkah kita terfikir kenapa Allah bersumpah dengan waktu dhuha? Kenapa tidak dengan waktu-waktu yang lain?

Imam Ar-Razi berkata andai Allah bersumpah dengan sesuatu, maka ia menunjukkan perkara itu adalah sangat penting.

Dhuha bermaksud ‘pagi hari’ atau ‘panas sinar hari’. Inilah waktu kebanyakkan manusia mula keluar dari rumah dan mula sibuk demi mencari rezeki.

Namun di sebalik waktu ini Allah sebenarnya menyarankan untuk meninggalkan urusan dunia demi menunaikan solat sunat dhuha.

Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya.

Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua rakaat dhuha dan witir sebelum tidur.”

Foto Instagram Solat Dhuha

Tanda Terima kasih Pada Allah SWT

Solat Sunat Dhuha boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seorang hamba kepada Allah SWT atas segala berkah hidup yang diberikan-Nya.

Berapa banyak rakaat solat yang dianjurkan?

Mengikut pendapat fuqaha, paling banyak bilangan rakaat bagi solat dhuha adalah dua belas rakaat.

Terdapat juga dalam kitab Syarah Raud yang menyatakan hanya empat rakaat sahaja.

Namun, ulama ada mengatakan yang afdalnya adalah lapan rakaat.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.” (HR Al-Hakim dan At-Tabrani)

Waktu Mengerjakan Solat Dhuha

Solat sunat Dhuha dilakukan pada waktu matahari sedang naik.

Jika cuaca kurang baik, rujuk saja takwim waktu solat.

Masanya adalah 28 minit selepas syuruk. Kalau syuruk jam 7:32 pagi, kita tambahkan 28 minit dan inilah bermulanya waktu dhuha iaitu jam 8:00 pagi.

Walaupun begitu waktu paling afdal melakukan solat sunat dhuha dianggarkan ketika matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang jam 9:30 pagi.

Mudahnya Mendirikan Solat Dhuha

  1. Niat
Kredit Info: UNISZA

2. Digalakkan membaca surah di bawah selepas membaca Al-Fatihah.

  • Rakaat pertama: Surah Al-Syam atau surah Al-Dhuha
  • Rakaat kedua: Surah Al-Kafirun atau surah Al-Ikhlas

3. Selesai solat dhuha disunatkan membaca doa ini. Lihat pada maksudnya. Indah bukan?

Tonton: Video Doa Dhuha UNIC

Fadilat Solat Sunat Dhuha

1.Mendapat keampunan daripada Allah SWT

  • Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat dhuha dengan istiqamah, nescaya akan diampuni dosanya oleh Allah SWT sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

2.Jaminan rezeki oleh Allah SWT

  • Allah S.W.T menjamin rezeki yang cukup kepada hambaNya yang mempunyai masa untuk solat dhuha

3.Rumah di syurga

  • Rasulullah S.A.W memberi motivasi kepada orang yang rajin memperuntukkan sedikit waktu paginya untuk solat dhuha dengan sabda baginda, “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.” (Sahih al-Jami’: 634)

4.Nilai seperti bersedekah

  • Sesungguhnya di dalam badan kita ini terdapat 360 sendi pinjaman Allah. Sendi inilah yang membolehkan kita bekerja dan menjalani kehidupan. Maka sendi-sendi ini ada hak-haknya yang perlu kita langsaikan. ( Hadis Riwayat Muslim )

5.Memperoleh keuntungan besar

  • Dikisahkan bahawa Rasulullah SAW mengutuskan tentera Islam berperang melawan musuh Allah SWT. Dengan izin-Nya, tentera Islam menang dan mendapat harta rampasan yang banyak. Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada yang lebih utama dan lebih mudah memperoleh kemenangan yang banyak iaitu solat dhuha.
  • Rasulullah S.A.W bersabda : “Barangsiapa yang berwuduk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.” (Sahih al-Targhib : 666)

6.Mendapat pahala umrah

  • Satu kerugian bagi kita jika masih bertangguh menunaikan solat dhuha sedangkan terdapat pahala umrah melaluinya.
  • Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji.

  • Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” (Sahih Al-Targhib: 673)

Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Semoga bermanfaat. Biiznillah.

Sumber: MVM | Shafiqolbu | Siraplimau

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: