Cari Rak Buku Pun Salah Ke? 10 Nasihat Dari Mufti Pulau Pinang
Tular baru-baru ini kisah kontroversi mengenai seorang pemuda yang telah mencari rak buku ketika berziarah ke rumah orang di hari raya.
Beliau telah berkongsi mengenai kisah beliau yang sentiasa mencari rak buku apabila beliau berkungjung ke rumah orang.
“Sepanjang saya menziarahi rumah orang, benda pertama yang saya cari diruang tamunya ialah rak buku, sebab buku modal ice breaking saya yang paling senang buat saya yang tak pandai berbasa – basi.”
“Pemerhatian saya, hampir setiap rumah orang melayu, walau di ceruk mana sekalipun pasti melanggan Astro atau ada sambungan internet.”
“Tetapi jarang sekali yang ada buku. Kalau ada sekali pun buku teks sekolah.” Ujar pemuda tersebut.
Disebabkan posting beliau, ianya telah menarik perhatian seorang warga net lain dan memberi teguran dengan berkongsi status pemuda tersebut sambil membuat satu posting menggangap apa yang dilakukan oleh pemuda tersebut sebagai perkara kurang beradab.
“Islam ajar kita, bila bertandang ke rumah orang ; masuk macam orang buta, keluar macam orang bisu. Masuk rumah orang jaga mata jang dok melilau tengok apa yang ada apa yang takde.”
“Dah balik tak usah jadi buah mulut jahat komplen itu ini
pasal rumah orang. Itu tak kena ini tak kena.”
“Dalam post dibawah apa yang acik faham, si dia ni masuk rumah orang mata melilau tengok sekeliling. Habis satu rumah dia perhati.”
“Lepas tu tengok takde rak buku dituduh pula tuan rumah dan ahli keluarga tak suka membaca. Cuma suka main internet dan tengok tv saja.”
“Tak jada adab sebagai tetamu dah satu hal. Bersangka buruk dengan tuan rumah yang jemput dia datang dan layan dia dengan baik satu hal.”
” Tulis terang-terang kat facebook & dibaca oleh kenalan dia, dan mungkin orang pernah jemput dia datang ke rumah. Lagi satu hal. Kalau orang tu terbaca bukan ke kecil hati dia?”
“Zaman sekarang, rak buku tak letak di ruang tamu lagi. Ada bilik khas mini perpustakaan kat rumah. Atau buku -buku semua simpan bersusun elok dalam almari.”
“Itulah pentingnya ajar anak-anak tentang adab sebagi tetamu. Kita mak ayah pun perlu beradab. Perangai kita akan jadi ikutan anak-anak,”
Disatu posting yang lain pula, pemuda tersebut memberi penjelasan, dalam satu posting berasingan
Dari satu sudut lain, mungkin keduanya mempunyai pemahaman yang berbeza. Yang mana baik jadikan teladan dan yang tak baik dihindari.
Berikut pula kami kongsikan nasihat dari Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
10 Nasihat Dari Mufti Pulau Pinang Adab Ketika Ziarah Raya
1.Niat
Niat yang paling utama adalah untuk mengeratkan silaturrahim kerana ALLAH SWT. Seterusnya, niat kena baik, bukannya ada kepentingan lain dengan tujuan tidak baik.
2.Berziarah pada waktu yang sesuai
“Ada hadis sahih juga mengatakan, kita jangan terlalu kerap mengunjungi seseorang dan perlu pada waktu munasabah. Jangan berkunjung secara mengejut kerana tuan rumah juga ada waktu privasinya sendiri,”
“Nabi Muhamad SAW melarang kita menziarahi rumah orang sebelum Subuh, selepas waktu Zohor dan terlalu lewat malam.
3.Menjaga tutur kata
Selain itu, kita perlu menjaga tutur kata agar tidak menggores hati tetamu lain serta tuan rumah.
Jangan kita mencemarkan dengan mengumpat, mengeji, bercakap dusta atau meninggi suara.
4.Menjaga batas ketika bergurau
“Bergurau juga ada batasnya, jangan keterlaluan. Jangan memalukan dan menjatuhkan aib orang lain. Ketawa juga ada batas, jangan terlalu kuat. Kita juga perlu menjaga mata dan aurat ketika berkunjung ke rumah orang termasuk saudara,” katanya.
5.Tidak masuk ke kawasan larangan dan privasi
Sebagai tetamu, kita perlu menjaga tatasusila agar tidak memasuki kawasan larangan di rumah yang dikunjung.
“Jangan masuk ke dalam bilik tidur dan dapur jika tidak diizinkan.
6. Hanya makan, makanan yang dihidangkan
Apa sahaja makanan dihidang, itulah makanan untuk kita. Jangan pula masuk ke dapur dan mengambil makanan yang tidak dihidang.
7.Tidak menggangu perhiasan rumah
“Sebagai tetamu juga, jangan sesekali mengganggu perhiasan rumah.
8.Kawal anak-anak
Kepada mereka yang ada anak, kawal anak anda agar tidak berkeliaran di tempat larangan seperti yang disebut tadi,” katanya.
9.Meminta izin sebelum pulang dan bermaaf-maafan
Sebelum pulang, kita perlu meminta izin selain bermaaf-maafan dengan tuan rumah bagi menjaga silaturahim yang sedia terjalin.
10.Tidak menjadi imam tanpa kebenaran tuan rumah
“Kepada yang bergelar agamawan, saya ingin berpesan, jangan lah kita terus mengimamkan solat (jika masuk solat) tanpa kebenaran tuan rumah. Mungkin tuan rumah ada pilihan lain untuk mengimamkan solat.
“Banyak adab yang perlu dijaga ketika berkunjung, sebab itu saya berpesan, sebelum pulang, kita bermaaf-maafan dahulu. Mungkin perbuatan atau tutur kita telah menggores perasaan orang lain yang kita sendiri tidak sedar. Pesan saya, jagalah adab ketika berkunjung ke rumah orang,”
Sumber :SinarHarian