PN Kaji Semula Pengeluaran KWSP Bersasar

PENILAIAN SEMULA KWSP BERSASAR JIKA PN MENANG PRU15

Membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus merupakan antara 12 tunjang yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran yang bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ atau PN Best itu juga turut menyediakan 30 pendekatan dan 234 tawaran.

Selain itu, antara yang mendapat perhatian adalah pengeluaran KWSP bersasar yang disentuh oleh Tan Sri Muhyiddin dalam sesi soal jawab yang berlangsung berkenaan.

PN Kaji Semula Pengeluaran KWSP Bersasar

Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan menilai semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dinilai berdasarkan jumlah baki simpanan pencarum yang memohon untuk lakukan pengeluaran berkenaan.

“Baru-baru ini, saya ada mengeluarkan video menerusi TikTok dan antara perkara berbangkit minta saya benarkan sekali lagi pengeluaran KWSP.

“Insya-ALLAH, bila kita menang (PRU15) antara perkara akan lihat semula adalah (pengeluaran) KWSP bersasar.

“Kalau kita lihat sebelum ini dah benarkan beberapa kali pengeluaran (contohnya) i-Sinar dan i-Lestari yang pada mulanya agak sukar tapi selepas itu dipersetujui,” katanya ketika Sesi Townhall PN selepas Majlis Pelancaran Tawaran PN (PN BEST) pada Ahad, 6 November 2022.

kwsp bersasar perikatan nasional pn

Beliau berkata, pengeluaran berkenaan tidak boleh dibuat jika sudah tiada simpanan dalam KWSP.

“Pertama, kita akan lihat berapa banyak simpanan yang masih ada dalam KWSP oleh pihak yang ingin memohon,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan, pihaknya akan memberi pertimbangan sebaik-baiknya mengenai perkara tersebut.

“Ini perkara yang penting. Insya-ALLAH bila mana kita menjadi sebuah kerajaan (jika memenangi PRU15),” katanya.

Cuti Umum, Inisiatif Bajet 2023 Diteruskan & Ditambahbaik Antara Janji PN

Perikatan Nasional (PN) akan mengisytiharkan cuti umum pada 20 dan 21 November ini sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran tambahan itu bagi membolehkan pengundi luar kawasan pulang ke tempat bermastautin tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin.

Beliau menjelaskan, cuti umum berkenaan tertakluk kepada cuti hujung minggu yang berlainan mengikut negeri masing-masing.

“Saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau di tempat lain dari tempat tinggal mereka.

“Jadi saya nak umumkan, jika PN menang dalam pilihan raya pada hari Sabtu, 19 November nanti, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad (20 November) bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, manakala hari Isnin (21 November) bagi negeri-negeri lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran PN (PN BEST) pada Ahad.

PN BEST bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran yang digubal dengan mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU optimis kesemua tawaran dinyatakan dalam PN BEST boleh dilaksanakan oleh gabungan itu apabila menjadi kerajaan kelak.

Justeru beliau memaklumkan, sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai ahli pakar akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung dalam tawaran tersebut.

“Saya ingin tegaskan bahawa tawaran PN ini boleh dilaksanakan. Dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan, kami yakin kesemua tawaran dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan menerusi sokongan semua penjawat awam, agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

“Kami juga memberi jaminan bahawa semua inisiatif Bajet 2023 termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksanakan oleh PN,” katanya.

Sumber: Berita BERSATU

Baca juga: