i-Miliki: Pengecualian Duti Setem Rumah & Pindah Milik Hartanah
i-Miliki ~ Untuk makluman anda, pihak kerajaan telah mengumumkan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama menerusi sebuah inisiatif yang berkuat kuasa 1 Jun 2022 hingga Disember 2023.
Pemberian insentif pengecualian duti setem bagi pembelian rumah ini memberi pengecualian bayaran cukai untuk mana-mana hartanah yang dibeli dengan harga RM1 juta dan ke bawah.
Berikut dikongsikan lebih lanjut mengenainya.
Pengenalan i-Miliki
Sebelum itu, mari ketahui apa itu i-Miliki.
i-Miliki ialah program pemilikan rumah baharu yang dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk menyediakan perumahan mampu milik dan berkualiti yang mencukupi untuk golongan muda dan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Malaysia.
Ia bertujuan untuk membantu mengurangkan beban mereka dalam membeli rumah buat kali pertama. Pengecualian duti setem untuk rumah pertama adalah di bawah inisiatif program i-Miliki.
Duti Setem
Apa pula maksud duti setem ni?
Duti setem ialah cukai yang dikenakan atas dokumen/surat perundangan seperti jual beli, pertukaran hak milik, pinjaman rumah, atau perjanjian pinjaman.
Pengecualian Duti Setem Pemilikan Rumah Pertama & Pindah Milik Hartanah Secara Kasih Sayang (i-Miliki)
Sepertimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2023, pihak kerajaan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama untuk menggalakkan pemilikan rumah di kalangan rakyat.
Di bawah Program Pemilikan Rumah (Hope Ownership Programme HOPE), pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-MILIKI) akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat pindah milik dan perjanjian pinjaman:
- Bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem adalah sebanyak 100%.
- Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50%.
Layanan duti setem ini terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023.
Duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah secara kasih sayang melibatkan ibu bapa dan anak, datuk nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada RM1,000,000 pertama nilai harta tanah.
Baki selebihnya daripada nilai harta tanah tersebut tertakluk kepada kadar duti ad valorem dan diberi remisi sebanyak 50% ke atas duti setem yang dikenakan. Layanan duti setem ini terpakai bagi surat cara pindah milik harta tanah yang disempurnakan mulai 1 April 2023.
Warta Kerajaan Berkenaan Pengecualian Duti Setem 2023
Sila rujuk PDF di bawah untuk membaca lebih lanjut mengenai Warta Kerajaan Persekutuan berkenaan Perihal Duti Setem yang terkini (Jun 2023).
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh rujuk portal rasmi Kementerian Kewangan Malaysia d pautan berikut:
Atau layari: https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/dutisetem.html