Lupakan Stres! Kerana Perkataan ‘Sabar’ Diulang 90 Kali Dalam Al-Quran

Barangsiapa ingin selamat daripada azab Allah, mendapatkan pahala dan rahmatnya-Nya serta masuk ke syurga-Nya, hendaklah dia menahan nafsu daripada segala keinginan dunia, di samping sabar atas segala kesulitan dan musibahnya.

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang sabar.

Sabar mempunyai banyak macam.

Sabar melaksanakan perintah (taat). Sabar meninggalkan larangan-larangan-Nya. Dan sabar ketika mendapat bencana.

Dan barangsiapa bersabar kerana taat, maka pada hari kiamat Allah akan memberinya 300 darjat di syurga.

Terasa ‘satu macam’ aura keyakinan kita dapat rasai daripada perkongsian seorang penulis buku, novel dan skrip drama tarbiah dalam media sosial beliau.

Semoga selepas ini kita boleh ucapkan ‘Selamat Tinggal’ pada stres, tekanan atau apa sahaja yang sewaktu dengannya.

Surah Maryam Ayat 65
Kredit Foto: Mstar

Baca hantaran menarik Bonda Nor dalam Facebook.

Allergik sangat dia dengan perkataan sabar agaknya.

“Jangan guna perkataan sabar untuk nasihatkan aku. Ingat selama ni aku tak sabar ke?” bentaknya.

Aduhai. Padahal ayat bantahannya itu pun sudah jelas-jelas menunjukkan yang dia memang tidak sabar.

Tuan puan,
Apa masalahnya dinasihatkan orang dengan perkataan sabar?

“Sabarlah…”
“Sabar ya, awak.”

Salah ke guna nasihat seperti ini untuk menenangkan orang yang ditimpa musibah?
Salah?

Padahal Allah sendiri banyak menasihati dengan menggunakan perkataan ‘sabar’ menerusi firman-Nya.

Cuba rujuk Al-Quran.

Bayangkan. Dalam banyak-banyak hal penting, sirah, ibadah, hukum hakam yang terdapat dalam kitab suci ini, perkataan sabar diulang sebanyak 90 kali!

Antaranya, “Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu, sembahlah Dia (Allah) dan BERSABARLAH dengan tekun dan tetap dalam beribadah kepada-Nya.

Cuba tengok Surah Maryam ayat 65 ini.

Allah bahkan mendahulukan pesanan agar bersabarlah, barulah pesanan untuk tetaplah beribadah.

Masih tak nampak kepentingan pesanan ini?

Tuan puan yang baik,

Kecuali para Nabi yang maksum, kesemua manusia teruji dengan penyakit hati.
Begitu jugalah dengan stres, semua orang ada. Yang membezakannya, hanya sedikit atau banyak saja. Yang membezakannya, antara layan atau tidak saja.

Bagaimana pula dengan depresi?

Kata pakar, ini gangguan pada otak gara-gara stres berpanjangan.

Namun depresi bukan gila. Ia masih boleh dikawal. Maka, mulakanlah dengan mengawal lisan.

Jangan marah apabila dinasihatkan dengan perkataan sabar. Kena ingat, itu nasihat khusus daripada Allah.

Sestres apa pun kita dengan masalah yang melanda, sebenci apapun kita mendengar perkataan sabar, jangan sesekali kita zahirkannya. Kawal lisan!

“Jangan guna perkataan sabar untuk nasihatkan aku. Ingat selama ni aku tak sabar ke?”

Subhanallah. Kita takut bantahan seperti inilah yang menyebabkan stres atau depresi semakin berpanjangan.

Stres dan depresi itu sangat menyakitkan. Tak ada siapa pun yang mahu.
Maka selagi masih ada walaupun secebis akal waras kita, pujuklah hati untuk sentiasa berdamai dengan peringatan untuk bersabar.

Kita nak bahagia, nak masuk syurga, memang kena sabar. Tak ada pilihan!
Jadi, jangan benci nasihat ini. Jangan.

Kredit: Bonda Nor

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: