Cara Turunkan Gula: Petua & Tips Yang Mudah Diamalkan
Cara Turunkan Gula | Petua & Tips Turunkan Bacaan Gula
Mempunyai bacaan gula yang terkawal adalah sangat penting untuk memastikan tubuh kita boleh berfungsi dengan baik. Apabila bacaan gula tidak terkawal atau dalam erti kata yang lain, terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan serta mengancam nyawa.
Individu yang mempunyai bacaan gula yang tinggi dan tidak terkawal seperti pesakit diabetes perlu sentiasa memantau bacaan gula mereka setiap hari bagi memastikan ia tidak mencanak naik sehingga boleh membahayakan nyawa.
Berikut dikongsikan cara turunkan gula, petua & tips yang boleh dilakukan bagi membantu anda.
BACA JUGA: Cara Turunkan Kolesterol: Ikuti 5 Tips Berguna Ini!
Petua & Tips Cara Turunkan Bacaan Gula
1. Amalkan Pemakanan Sihat (LCNS)
Amalan pemakanan yang sihat dan betul adalah amat penting bagi membantu bacaan gula terkawal. Diet yang anda disyorkan untuk amalkan ialah Low Carb No Sugar.
Diet ini bermaksud anda perlu amalkan diet rendah karbo dan berhenti pengambilan gula (termasuk pengganti gula) dalam makanan mahupun minuman.
Diet rendah karbohidrat memberi tumpuan kepada makanan yang tinggi protein, sayuran hijau tidak berkanji dan lemak sihat. Anda juga perlu mengehadkan jumlah karbohidrat yang anda makan.
Elakkan makan makanan yang termasuk dalam kategori karbohidrat kompleks seperti makanan yang menggunakan atau berasaskan tepung gandum. Contohnya roti, mee, pasta, kuih muih, dan seumpamanya.
Untuk buah-buahan pula, elakkan pengambilan buah yang mempunyai kandungan fruktosa (gula) yang tinggi seperti epal, limau, pisang, anggur, tembikai, mangga dan lain-lain.
Buah yang disyorkan untuk pesakit diabetes adalah jambu batu, avokado dan beberapa jenis buah yang lain. Hal ini kerana, ia mempunyai indeks glikemik yang cukup rendah dengan serat yang tinggi. Amalkan juga pengambilan protein dan sayuran hijau setiap hari.
2. Kawal Kuantiti Makanan
Selain pemilihan makanan yang betul, portion makanan juga perlu diperhatikan. Hal ini adalah bagi memastikan bacaan gula dapat dikawal. Secara tidak langsung, ia juga dapat membantu mengekalkan berat badan dengan mengawal jumlah kalori yang diambil.
Amalkan sesenduk rata nasi dan lebihkan pengambilan protein dan sayuran agar kenyang lebih lama. Gunakan pinggan yang kecil untuk membantu anda mengawal porsi makanan.
3. Bersenam
Pastikan juga anda kekal aktif dan bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Lakukan senaman ringan setiap hari seperti berjalan kaki dan mengemas rumah agar anda kekal aktif.
Bersenam dapat membantu meningkatkan sensitiviti insulin. Apabila sensitiviti insulin meningkat, ia boleh berfungsi untuk memproses gula dalam darah dengan lebih baik dan berkesan.
Dengan melakukan senaman, ia juga dapat membantu otot anda untuk menggunakan gula dalam darah sebagai sumber tenaga dan mengelakkan bacaan gula dalam darah anda tinggi.
4. Minum Air Secukupnya
Air yang cukup boleh boleh membantu mengekalkan paras gula darah dalam julat yang sihat. Ia membantu buah pinggang untuk menyingkirkan sebarang gula berlebihan melalui air kencing.
Oleh itu, pastikan anda minum air yang mencukupi setiap hari. Ini adalah antara tips yang paling mudah untuk diamalkan.
5. Dapatkan Rawatan & Hentikan Rawatan Alternatif
Cara terbaik untuk mengawal gula dalam darah adalah dengan mendapatkan rawatan di mana-mana klinik kesihatan atau hospital. Jangan sesekali ragu atau bertangguh untuk mendapatkan rawatan bagi mengelakkan nyawa anda terancam.
Dengan rawatan, anda boleh mengetahui tahap kesihatan dan juga bacaan gula anda dapat dipantau dengan baik.
Selain itu, pastikan juga anda mengikuti pelan rawatan dan mengambil ubat-ubatan atau insulin yang dibekalkan mengikut nasihat doktor yang merawat anda.
Hentikan sebarang pengambilan suplemen ataupun rawatan alternatif yang anda tidak pasti keberkesanannya. Hal ini kerana, ia boleh menyebabkan bacaan gula anda tidak terkawal dan organ lain terjejas. Oleh itu, berhati-hatilah.
Kesimpulan
Bacaan gula dalam darah perlu dikawal dengan baik bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk.
Untuk membantu anda mengetahui bacaan gula setiap hari, anda disarankan untuk memiliki glukometer dan sentiasa memeriksa bacaan gula selepas dan sebelum makan.
Baca selanjutnya : http://appshoshas.moh.gov.my/hoshasv5/index.php?view=article&id=158:bagaimana-diabetes-dikesan&catid=150