Fakta Acrylamide Dalam Biskut / Makanan & Kaitan Dengan Kanser – KKM
ISU BISKUT TULAR PUNCA KANSER
Dalam minggu ini, media sosial heboh dengan laporan Majlis Pengguna Hong Kong (The Hong Kong Consumer Coucil) yang didakwa mengesan bahan penyebab kanser dalam 60 sampel biskut dan keropok dalam bungkusan yang didapati turut dijual di negara ini.
Dalam laporan tersebut dikatakan biskut-biskut ini mengandungi kadar Acrylamide dan Glycidol yang dikatakan boleh menyumbang kepada punca kanser.
Tahukah anda apakah itu acrylamide dan bagaimana ia terhasil? Dan paling penting – adakah benar ia boleh menyumbang kepada penyebab kanser?
Berikut adalah fakta berkaitan ACRYLAMIDE yang dikongsikan oleh KKM untuk makluman kita bersama.
Apakah Acrylamide?
Acrylamide adalah sejenis bahan kimia yang terhasil apabila makanan berkanji yang dimasak. digoreng dan dibakar pada suhu yang tinggi dalam tempoh yang lama.
Acrylamide juga adalah bahan kimia yang digunakan dalam perindustian tertentu, seperti membuat kertas, pewarna dan plastik.
Ia boleh terhasil secara semulajadi dalam makanan berkanji yang dibakar / digoreng / dipanggang pada suhu 120 darjah Celcius.
Contoh Makanan
Contoh makanan yang mengandungi bahan ini antaranya adalah:
- Kentang goreng
- Kerepek pisang
- Nasi goreng
- Mee goreng
- Roti bakar
- Kentang bakar
Adakah Ia Boleh Menyebabkan Kanser?
Menurut infografik oleh KKM, pendedahan lama menyebabkan kanser dalam kajian ke atas haiwan.
Namun, tiada bukti terhadap manusia.
Menurut Dr Noor Hisham dalam kenyataan media terkini, pemantauan yang dijalankan oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2015 bagi produk biskut di pasaran tempatan termasuk jenama terlibat, mendapati tahap purata acrylamide adalah 246 µg/kg (mikrogram per kilogram) iaitu di bawah paras (benchmark level) yang ditetapkan oleh European Union (EU) Commission Regulation iaitu 350 µg/kg.
Tips Mengurangkan Acrylamide Dalam Makanan
Untuk mengurangkan acrylamide dalam makanan, sila ikuti tips yang dikongsikan oleh KKM berikut:
- Masak makanan berkanji sehingga berwarna emas kekuningan
- Rendam kentang di dalam air selama 15-30 minit atau celur di dalam air mendidih.
- Tiak menyimpan ubi kentang di dalam peti sejuk.
- Ikuti cara penyediaan makanan daripada pengilang agar suhu tidak terlalu tinggi.
Adakah Biskut Hup Seng & Biskut-biskut Lain Selamat Dimakan?
Kenyataan Akhbar KPK 27 Oktober 2021 – Maklumat Terkini Isu Pencemaran Acrylamide dan Glicidol di dalam Produk Konfeksi Termasuk Biskut
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini isu pencemaran acrylamide dan glycidol susulan laporan oleh CHOICE Magazine di dalam laman web Majlis Pengguna Hong Kong (The Hong Kong Consumer Coucil) berkaitan 60 jenama produk konfeksi tepung termasuk biskut, yang dijual di pasaran Hong Kong mengandungi acrylamide dan glicydol.
Antara jenama yang disenaraikan termasuk jenama biskut Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia.
Baca juga: Biskut Terkenal Didakwa Mengandungi Karsinogen Penyebab Kanser Kini Disiasat BKKM
Pemantauan yang dijalankan oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2015 bagi produk biskut di pasaran tempatan termasuk jenama terlibat, mendapati tahap purata acrylamide adalah 246 µg/kg (mikrogram per kilogram) iaitu di bawah paras (benchmark level) yang ditetapkan oleh European Union (EU) Commission Regulation iaitu 350 µg/kg.
BKKM turut menjalankan penilaian risiko ke atas acrylamide dan glycidol dalam makanan dan ia menunjukkan risiko kesihatan terhadap acrylamide dan glycidol melalui pengambilan biskut adalah rendah.
Pengguna boleh mendapatkan panduan pencemaran acrylamide di dalam makanan dari Facebook rasmi BKKM.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
Pengguna juga boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat isu-isu berkaitan keselamatan makanan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
27 Oktober 2021
Pautan sumber asal : https://kpkesihatan.com/2021/10/27/kenyataan-akhbar-kpk-27-oktober-2021